Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Akademi ASAS Perkasa Komuniti MADANI Tangkis Fitnah Digital

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia/Muhammad Arief  (Marang)

MARANG, 3 Julai (Malaysiaaktif) – Usaha memperkukuh literasi digital dalam kalangan masyarakat terus dipergiat menerusi penganjuran Program Akademi ASAS Penerangan yang memberi penekanan kepada peranan komuniti sebagai barisan hadapan dalam menangkis penyebaran fitnah dan maklumat palsu di media sosial.

Program ini menghimpunkan peserta dalam kalangan Komuniti MADANI bagi memperkasa kemahiran komunikasi, pemahaman isu semasa serta keupayaan menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum disebarkan kepada umum.

Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Alor Limbat, Rosnani Mohd Lazim berkata pengisian program memberi fokus kepada cabaran dunia digital masa kini yang semakin terdedah kepada penyebaran berita tidak sahih, manipulasi maklumat serta kandungan tular yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Akademi ASAS berperanan sebagai platform latihan dan kesedaran bagi melahirkan komuniti yang lebih berpengetahuan, beretika serta bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial,” katanya ketika memberikan taklimat di dalam program berkenaan, di sini hari ini.

Salah seorang peserta program, Mardina Mohd Rosli, 32, berkata komuniti hari ini bukan sekadar penerima maklumat, tetapi juga penyampai.

Justeru, mereka perlu mempunyai kemahiran untuk mengenal pasti kesahihan sesuatu berita sebelum berkongsi.

“Peserta turut didedahkan dengan pendekatan semakan fakta, etika komunikasi digital serta kaedah mengenal pasti sumber maklumat yang boleh dipercayai, selaras dengan usaha membina ekosistem komunikasi yang lebih sihat dan berintegriti,” katanya.

Program yang dilaksanakan di setiap daerah adalah sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh peranan rakyat sebagai ejen penyampai maklumat sahih di peringkat akar umbi, sekali gus membantu membendung penularan fitnah yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.

-AA-

Tinggalkan komen anda