Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurViral

91 Pelajar Tajaan JPA Teruja Sambung Pengajian ke Jepun

By 5 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Fauziah Hussain KUALA LUMPUR, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 91 pelajar yang berjaya melepasi Examination for Japanese University Admission for International Students (EJU) pada November lepas teruja untuk menyambung pengajian peringkat ijazah selama empat tahun di Jepun Mac ini.

Terdahulu, pelajar Kumpulan ke-33 Rancangan Persediaan Khas ke Jepun (RPKJ) ini telah menjalani kursus persediaan untuk memasuki universiti-universiti di Jepun selama dua tahun di Ambang Asuhan Jepun, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM).

RPKJ merupakan inisiatif Polisi Pandang ke Timur tahun 1982 ilham mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebagai simbol berharga hubungan persahabatan dua negara dan pembangunan modal insan sejak lebih 30 tahun.

Menurut Timbalan Ketua Delegasi, Kedutaan Besar Jepun ke Malaysia,
Encik Yoshinori Kodama, pihaknya memuji JPA sebagai tunjang utama melaksanakan polisi Pandang ke Timur dan PASUM selaku institusi penting yang menyokong program ini.

Sementara itu, Pro-Canselor Universiti Malaya Toh Puan Datuk Seri Hajjah Dr. Aishah Ong berkata sebagai khazanah negara, para pelajar perlu mempelajari ilmu akademik dan nilai-nilai murni masyarakat Jepun untuk diaplikasikan dalam negara.

Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya hari ini, semua pelajar menerima Sijil Tamat Kursus RPKJ sesi 2015/2016 sementara 11 pelajar menerima Hadiah Kehadiran Terbaik manakala lima pelajar menerima Hadiah Pelajar Terbaik.

Menurut salah seorang Pelajar Terbaik, Ikhmal Yahya Kasim, sesi pembelajaran intensif bahasa Jepun yang diadakan setiap hari mulai 8.30 pagi hingga 6.00 petang memang merupakan satu cabaran besar namun akhirnya mereka berbangga kerana dapat menguasai bahasa berkenaan serta boleh berkomunikasi dengan guru dan kawan-kawan.

Program RPKJ ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (Monbukagakusho), Kedutaan Jepun dan The Japan Foundation, Kuala Lumpur.

Tinggalkan komen anda