Skip to main content
HomeKuala LumpurViral

Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI Secara Dalam Talian

By 5 Februari 2016Tiada komen1 minit bacaan

Oleh : Diyana Zamri  PUTRAJAYA, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Tanpa Izin (PATI) akan dibuat secara dalam talian selama tiga bulan bermula 15 Februari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, program ini dilaksanakan selaras dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri ketika Pengubahsuaian Bajet 2016 pada Khamis lalu.

“Kita menjangkakan kira-kira dua juta pekerja-pekerja yang tidak berdokumen ini. Oleh kerana pihak majikan telah memohon kepada pihak kerajaan supaya pekerja-pekerja ini diberikan peluang untuk terus bekerja, mereka telah menyatakan kesanggupan untuk memohon secara rasmi kepada pihak kerajaan.”

“Maka, kerajaan melalui pihak KDN telah memutuskan untuk melakukan permohonan penggajian secara [dalam] talian ini dan majikan boleh memohon terus melalui talian online application tanpa melalui ejen-ejen pekerja-pekerja asing,” katanya ketika sidang media di Majlis Amanat 2016 Kementerian dan Pelancaran Buku Dasar Keselamatan Dalam Negeri pagi tadi.

Menurut Zahid, permasalahan PATI ini berpunca daripada penipuan oleh segelintir ejen-ejen yang telah dilantik oleh majikan untuk menguruskan proses pendaftaran.

“Maka, atas kekangan yang telah dihadapi itu, pihak kerajaan rasa terpanggil untuk membantu para majikan bagi melakukan sistem penggajian ini secara online,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, satu pertemuan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi dengan majikan, persatuan pekerja, persatuan pengilang dan badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan kadar levi.

Tinggalkan komen anda