Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomePerakViral

Orang Kampung Disaran Guna Inovasi Hasil Durian Bermutu

By 26 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Md Sazali Ab Hamid (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah pula dengan kejatuhan harga getah, penduduk di kawasan luar bandar di daerah Pengkalan Hulu disarankan supaya menceburi bidang pertanian alternatif sebagai sumber pendapatan tambahan, khususnya melakukan inovasi dalam penghasilan buah durian bermutu tinggi.

Ini kerana dusun di kampung mampu memberikan hasil lumayan sekiranya menggunakan teknologi cantuman terkini dengan benih bermutu tinggi, seperti Musang King dan D24.

Berucap semasa Bengkel Program Gerak Kerja Cantuman Tanaman Durian sempena Program Permukiman Menteri Besar Perak di Kampung Kuak Hulu pagi tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim menyarankan penduduk kampung segera buka mata terhadap inovasi terbaharu dalam bidang pertanian negara.

“Penduduk di kawasan ini mempunyai tanah yang agak luas, termasuk dusun durian kampung yang kurang mendatangkan hasil. Jadi apa salahnya kita gunakan teknologi terkini pertanian untuk menjadikan buah durian kita yang tidak bermutu kepada yang lebih bermutu tinggi dan boleh memberi pulangan lumayan,” ujarnya di majlis tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuak Hulu Shamsudin Ahmad, 56, bengkel seperti ini mampu memberi manfaat kepada penduduk kerana hampir semuanya  mempunyai pokok durian kampung yang tidak lagi produktif dalam mengeluarkan hasil.

Program ini dirasmikan oleh ADUN Trong, Datuk Dr. Zabri Abd. Wahid merangkap Timbalan Exco Pertanian Negeri Perak. Dalam ucapannya, beliau berharap agar bengkel ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk untuk menimba ilmu bagi mengeluarkan hasil yang lumayan dari dusun-dusun yang ada di kawasan ini.

Bengkel ini turut disertakan demonstrasi kaedah cantuman durian dewasa oleh Pejabat Pertanian Daerah Pengkalan Hulu.

Tinggalkan komen anda