Oleh Kamaruzaman Aziz (Dengkil)
DENGKIL, 27 Feb (Malaysiaaktif) — “Tindakan Penguatkuasaan Lemah”, demikian keluhan Haji Mohd Ali bin Jamil, Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kampung Dengkil, yang kecewa dengan tindakan membanteras premis judi haram mesin slot yang terus beroperasi 24 jam di sekitar Pekan Dengkil.
Menurut beliau, tidak kurang dari 10 premis judi haram mesin slot masih beroperasi disekitar Pekan Dengkil. Premis ini kerap dikunjungi penduduk Dengkil, Putrajaya, Cyberjaya terutama golongan belia.
Penguatkuasaan yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti melepas batuk ditangga dengan merampas sebahagian komputer dan pusat judi haram ini tetap terus beroperasi.
Menurut beliau ini menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap tindakan penguatkuasaan yang lemah.
“Perang” yang dilancarkan oleh PDRM ke atas premis judi haram mesin slot sebelum ini hanya kenyataan “cakap tak serupa bikin” dan tindakan “hangat-hangat taik ayam”.