Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahEkonomiHomeKuala Lumpur

Perdana Menteri Rasmi Kompleks Komuniti Muhibbah

By 27 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Zaharah Ismail, Amirah Ahmad dan Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Malaysiaaktif) — Empat tunjang utama pembangunan sesebuah negara disenaraikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, ketika menghadiri Majlis Perasmian Kompleks Komuniti Muhibbah dan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Sepute hari ini.

Ia termasuk teras keselamatan sesebuah negara dalam menangani dan memerangi jenayah dan menolak keganasan. Selain itu, beliau berkata kestabilan politik berpaksi amalan demokrasi berparlimen menjadikan negara ini stabil dari segenap aspek.

Tambah beliau, pengurusan tadbir ekonomi dengan cekap dan berhemah dapat mengurangkan kesan tekanan daripada ekonomi dunia yang tidak menentu. Asas terakhir ialah mengutamakan kemaslahatan rakyat, di mana kemudahan serta kebajikan rakyat sentiasa dijaga.

Pembinaan kompleks ini merupakan inisiatif kerjasama strategik di antara Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha memastikan warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah seramai lebih 10, 693 orang mempunyai ruang untuk aktiviti kemasyarakatan.

Kompleks ini mengandungi sebuah Dewan dan Pusat Komuniti dua  tingkat, gelanggang badminton, perpustakaan, pusat aktiviti warga emas, Klinik 1Malaysia, tadika, surau, taman permainan kanak-kanak dan laman kenangan bagi aktiviti warga emas serta tempat letak kereta.

Sempena majlis hari ini, Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Seputeh diadakan dengan kehadiran kira-kira 5,000 penduduk PPR kampung berkenaan yang terletak di antara Parlimen Bandar Tun Razak, Parlimen Seputeh dan Parlimen Lembah Pantai.

Antara yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan bersama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Loga Bala Mohan.

 

Tinggalkan komen anda