Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

Kerajaan Bantu Pasangan Warga Emas Daif Sejak 2009

By 10 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh  Zuraidah Ahmad & Abdul Sani Ariff Lokman (Sabah)

KOTA KINABALU, 10 Feb 2016 (Malaysiaktif) –? Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid berkata kisah nasib pasangan warga emas daif yang viral di laman sosial mendapat bantuan kebajikan sejak 2009 lagi.

Menurutnya, Kong Nyuk Hiong, 71, dan isterinya, Liew Yun Pin, 80, yang tidak mempunyai  anak telah menetap di rumah usang di Kampung Bandulan sejak lebih 50 tahun lalu dan pihaknya sedang berusaha memujuk mereka untuk berpindah ke rumah warga tua sementara urusan pembinaan rumah selesai.

“Kita menghadapi kesulitan kerana pasangan ini enggan berpindah, sedangkan kita amat risau dengan keselamatan dan barang-barang mereka sering dicuri.

 

lawatan bersepadu jainab 1 (4)

 

“Besar kemungkinan pencuri itu adalah golongan penagih dadah, kerana itu saya mengarahkan pemantauan berkala dibuat oleh pasukan polis dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) oleh Kawasan Rukun Tetangga Karambunai pada sebelah malam.

“Selain pemeriksaan kesihatan, hari ini kita telah bawa bantuan bekalan air bersih dengan tangki air serta membincangkan tentang bantuan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) secara kolektif dengan jabatan dan agensi yang terlibat.

“Kita difahamkan bahawa tanah ini mempunyai geran tetapi sebahagiannya telah dijual kepada syarikat tertentu. Jadi, kita akan berbincang dengan syarikat tersebut dan meminta mereka untuk menyumbang di bawah program tanggungjawab sosial korporat.

 

lawatan bersepadu jainab 1 (1)

 

“Kerajaan juga akan mempertimbangkan bantuan di bawah Program 1Azam kepada Nyuk Hiong yang kini menyara isterinya yang menghidap sakit jantung dengan menanam dan menjual halia dan ubat-ubatan di pasar sekitar Luyang, Foh Sang dan Jalan Gaya dengan purata pendapatan RM20 sehari.

Dalam pada itu, Jainab turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis untuk menangkap individu yang memulakan viral tersebut kerana telah menyinggung perasaan keluarga pasangan berkenaan, di samping menimbulkan fitnah ke atas kerajaan yang kononnya tidak memberi bantuan kebajikan.

Jainab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, petang tadi, menggerakkan semua jentera di bawah kementeriannya serta jabatan dan agensi terlibat seperti polis, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jabatan Kesihatan, Jabatan Air, Jabatan Imigresen Negeri Sabah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) mengadakan lawatan bersepadu ke Kg Bandulan.

 

Tinggalkan komen anda