Skip to main content
Berita TempatanSabah

MAHEANS Sambut Baik Cadang Tubuh Tribunal Tuntutan Anak Negeri

By 1 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Zuraidah Ahmad & Jeffren Malaning (Sabah)

BONGAWAN, 31 Jan (Malaysiaktif) –? Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MAHEANS) menyambut baik cadangan penubuhan Tribunal Tuntutan Anak Negeri ke arah menambahbaik proses penyelesaian kes-kes berkaitan tanah adat di negeri ini.

Presidennya, Datuk Mohammad Alamin bagaimanapun berkata kajian terperinci perlu bagi memperhalusi cadangan dikemukan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, baru-baru ini.

“Kita menyambut baik cadangan ini tetapi perlu dikaji secara terperinci kerana ia melibatkan aspek perundangan dan mungkin juga akan melibatkan pindaan dalam Enekmen Mahkamah Anak Negeri itu sendiri.

“Jadi, perkara ini akan kita bincangkan dengan pihak Peguam Negeri dan kementerian yang terlibat untuk kita kaji secara holistik tentang pelaksanaan cadangan tersebut,” ujarnya.

Beliau berharap pewujudan tribunal khas itu kelak dapat menyelesaikan kes-kes tuntutan yang banyak tertangguh di beberapa daerah seperti di Keningau, Nabawan, Sook, Penampang dan Papar secara muktamad.

“Ini adalah satu cadangan yang baik kerana di Sabah banyak kes-kes yang tertunggak berkenaan NCR atau tanah adat.

“Di Sabah, kita mempunyai kelompok 45 etnik. Jika tiada pakar-pakar dalam suku kaum dan budaya itu agak sukar untuk kita selesaikan kes.

Mohammad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Daerah di Masjid Nurul Hidayah di sini, malam tadi.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada johan qari, Aliudin Matbe (Zon DUN Pantai Manis) dan johan qariah, Faridah Ag Tengah (Zon DUN Kawang) berupa wang tunai dan sijil penghargaan.

Mereka akan berentap mewakili Daerah Papar ke MTQ Zon Bahagian Selatan di Putatan pada 10 Februari ini sebelum layak ke MTQ Peringkat Negeri pada 24 dan 25 Februari di Keningau.

Tinggalkan komen anda