Oleh M. Zakri Chan (Melaka)
MELAKA 28 Feb (Malaysiaaktif) — Air Batu Malaysia atau ‘Aiskrim Malaysia’ yang dikenali sejak zaman dahulu lagi kini menyerlah kembali dalam manifestasi wajah dan perasa lain.
Air Batu Malaysia yang popular seiring peningkatan penggunaan plastik terus bertahan dan sinonim dengan masyarakat Malaysia, terutama di kawasan luar bandar. Nilai sentimentalnya mengimbau warna-warni kehidupan zaman kanak-kanak.
Seiring perubahan masa, pelbagai cita rasa baharu hasil kreativiti dan inovasi masyarakat mendapat tempat dalam hati penggemar Air Batu Malaysia yang kini muncul sebagai trend semasa dengan perisa cumi dan coki-coki. Dengan penggunaan bahan seperti susu cair, susu pekat, air dan cumi dengan mudah kita dapat menghasilkan Air Batu Malaysia yang sedap dan berwarna warni.
Peminat Air Batu Malaysia di sini, Salmiah Dolah, 37, berkata inovasi perisa Air Batu Malaysia yang amat disukai oleh keluarganya membuatkan dia bersemangat mencipta perisa-perisa baharu.
Wartawan Malaysiaaktif turut ke Kampung Panchor menemui Yamchik Md Derus, 65, yang giat menjual Air Batu Malaysia. Baginya, nostalgia tercetus memandangkan arwah ayahnya pernah menjaja ‘aiskrim’ ini dengan menaiki basikal di sekeliling kampung. Dengan hasil halal jualannya itulah mereka tujuh beradik dibesarkan.
“Air Batu Malaysia merupakan identiti Masyarakat Malaysia yang harus dipertahankan agar anak cucu kita faham dan mengerti pelbagai cerita dan kenangan disebalik penyediaannya,” ujar beliau.