Skip to main content
EkonomiHomeRencana & Pendapat

TPPA, Perjanjian Perdagangan Menguntungkan Semua Pihak

By 25 Februari 2016Tiada komen5 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau ‘Trans-Pacific Partnership Agreement’  (TPPA) merupakan satu bentuk perjanjian perdagangan yang bertujuan mempertingkatkan liberalisasi dagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota. Dalam konteks yang luas, TPPA  membuka ruang integrasi ekonomi yang lebih kukuh yang dapat membantu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang baru dalam bidang perniagaan dan pekerjaan, sekali gus dapat mempertingkatkan taraf kehidupan, mengurangkan kemiskinan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi mampan serta memberi manfaat kepada pengguna. Melalui TPPA, negara anggota dapat memperkukuhkan ikatan persahabatan dan kerjasama dan dalam masa yang sama mengiktiraf perbezaan tahap pembangunan dan kepelbagaian ekonomi negara anggota.

Dalam usaha mempertingkatkan integrasi serantau dan perdagangan bebas Asia-Pasifik, TPPA yang kini dianggotai 12 negara bersedia untuk mengembangkan perkongsian dengan menggalakkan kemasukan negara-negara atau wilayah-wilayah yang belum menjadi ahli.  Negara-negara anggota TPP ialah Amerika Syarikat (AS), Australia, New Zealand, Kanada, Jepun, Mexico, Peru, Chile, Brunei, Malaysia,  Singapura, dan Vietnam.

TPPA menjadi mekanisme dalam usaha memperkukuhkan daya saing perniagaan di peringkat pasaran global dan meningkatkan daya saing ekonomi melalui galakan peluang perniagaan, termasuklah menggalakkan dan memperkukuhkan pembangunan rantaian bekalan serantau. Dalam konteks ekonomi domestik, TPPA mampu menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri mikro dan sederhana merebut peluang yang terhasil daripada perjanjian multilateral ini.

TPPA  dilaksanakan melalui mekanisme perundangan yang konsisten dan rangka kerja komersial bagi perdagangan dan pelaburan menerusi peraturan-peraturan yang menguntungkan semua pihak. Ia menetapkan layanan sama rata dan akses pasaran bagi barangan bertujuan untuk menggalakkan perdagangan antara negara anggota TPP melalui penghapusan atau pengurangan duti import; menghapuskan halangan bukan tarif yang berkaitan dengan prosedur pengeksportan dan pengimportan; galakan kecekapan dan ketelusan prosedur kastam serta mengurangkan birokrasi dan meningkatkan ketelusan bagi memudah  dan menyediakan kemudahan perdagangan antara negara TPP.

Pada asasnya, undang-undang untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas antara Negara-Negara TPP adalah dengan menggunakan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai asas, dan juga mengiktiraf obligasi antarabangsa lain yang sedia ada yang berkaitan dengan perdagangan. Namun, ini  tidak bermakna negara anggota perlu menggadaikan segala prinsip dan dasar nasional masing-masing sehingga hilang kedaulatan. Dalam konteks Malaysia, kerajaan bersetuju menandatanganinya mengikut beberapa terma-terma yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan dasar-dasar yang melindungi kepentingan nasional tetap terpelihara.

Antaranya, TPPA mengiktiraf hak sedia ada dalam memperkenalkan, mengekalkan dan mengubah sistem kesihatan awam. TPPA juga mengiktiraf peranan Syarikat-syarikat Hak Milik Kerajaan (GLC)  dalam pembangunan ekonomi negara. Namun, dalam masa yang sama ia turut  mengiktiraf menggalakkan penyertaan sama rata dengan syarikat-syarikat perniagaan swasta, serta melalui amalan ketelusan dan perniagaan yang sihat.

Dasar Bumiputera Malaysia diberi pengecualian di bawah TPPA.  Had atau threshold  nilai perolehan perkhidmatan pembinaan untuk Malaysia  sebanyak RM315juta untuk lima tahun pertama, yang tertinggi dalam kalangan negara anggota TPP. Nilai threshold ini akan berkurangan secara berperingkat bagai 15 tahun berikutnya pada had umum RM70 juta. Tempoh ini memberi peluang bagai syarikat pembinaan dan pembekalan Bumiputera menyesuaikan diri serta menjadi lebih berdaya saing.

Untuk kontraktor kecil dan sederhana tempatan masih dikekalkan pada paras RM70 juta bagi sesuatu projek.  Selain itu, TPPA memberikan kebenaran kepada kerajaan Malaysia untuk memberikan perolehan  sehingga 30 peratus bagi projek yang bernilai RM315 juta semasa tempoh peralihan.

Pelaburan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bukanlah suatu perkara yang baru bagi Malaysia. Sebelum ini, Malaysia telah menandatangani FTA yang turut menumpu kepada soal  pelaburan. Di samping kemasukan syarikat-syarikat luar ke negara ini, terdapat banyak syarikat Malaysia yang telah membuat pelaburan di negara asing, termasuk di AS. Sehingga kini, Malaysia telah menandatangani 74 Investment Guarantee Agreements (IGAs) dan 8 FTA yang mengandungi Bab Pelaburan serta mekanisme penyelesaian pertikaian antara pelabur asing dengan kerajaan (ISDS).

Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) adalah penting bagi tujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, penting bagi Kerajaan memberi isyarat positif kepada para pelabur asing bahawa mereka akan menerima layanan yang sewajarnya selaras dengan undang-undang dan dasar semasa negara serta obligasi negara di bawah undang-undang antarabangsa yang terpakai.

Dalam konteks menarik FDI, tumpuan Malaysia adalah untuk menarik pelaburan yang berintensifkan modal serta berteknologi tinggi supaya ia benar-benar dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran yang tinggi.

Berkaitan dengan pertikaian antara pelabur asing dengan kerajaan, ia perlu diselesaikan menerusi mekanisme ISDS. Sebarang penyelesaian pertikaian haruslah bermula melalui proses konsultasi atau rundingan terlebih dahulu dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh sesuatu pertikaian itu timbul, iaitu sebelum sesuatu pertikaian itu dirujuk dan dibawa di hadapan tribunal timbang tara antarabangsa.

Sekiranya ia tidak dapat diselesaikan maka pertikaian itu boleh dikemukakan di bawah salah satu daripada forum timbang tara , iaitu : i. Konvensyen mengenai Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID) dan Peraturan ICSID berkaitan Prosedur untuk Prosiding Timbang Tara; ii. ICSID Additional Facility Rules; iii. UNCITRAL Arbitration Rules; atau,  iv. Institusi timbang tara selainnya atau di bawah peraturan timbang tara selainnya.

Dalam kes berkaitan penyelesaian pertikaian kerajaan dengan pelabur asing, kerajaan turut diberikan perlindungan (safeguards). Sebelum sesuatu tuntutan itu dibawa ke tribunal timbang tara antarabangsa, pelabur asing diwajibkan menyelesaikannya melalui proses konsultasi dan rundingan. Pelabur asing perlu membuktikan terdapat kerugian akibat tindakan kerajaan yang dirasakan telah melanggar obligasi yang ditetapkan.

Sekiranya tuntutan yang dikemukakan itu tidak berasas (frivolous claims) maka pihak pelabur asing dikehendaki membayar ‘fi’ peguam kerajaan.  ISDS juga menetapkan suatu tempoh tamat (cut-off), di mana ia tidak boleh membuat tuntutan sekiranya telah melepasi tempoh tiga tahun enam bulan sejak pelabur asing menyedari terdapatnya pelanggaran obligasi oleh kerajaan.

Beberapa perkara lain yang perlu diketahui dalam perjanjian ini ialah, TPPA mMelindungi dan menguatkuasakan hak-hak buruh, memperbaiki kualiti tempat kerja dan kehidupan, dan memperkukuhkan kerjasama. TPPA juga menggalakkan ketelusan, urus tadbir dan undang-undang yang baik, menghapuskan amalan rasuah dalam urusan perdagangan dan pelaburan.

Ia juga menggalakkan amalan perdagangan dan alam sekitar yang disokong bersama menerusi penguatkuasaan undang-undang yang berkesan. Perlindungan alam sekitar ini penting bagi menjamin pembangunan mampan dan mutu kehidupan yang berkualiti.

Tinggalkan komen anda