Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kerajaan Negeri Sabah, Petronas Jalin Kerjasama

By 25 Februari 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh Mohammad Khairul Azad Yunus & [email protected] James Ghani (Sabah)

KOTA KINABALU, 25 Feb 2016 (Malaysiaktif) –? ?Kerajaan Negeri komited meningkatkan kerjasama dengan pihak industri terutamanya PETRONAS untuk memacu pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman berkata, keadaan harga pasaran minyak mentah dunia ketika ini tidak menjejaskan tumpuan dan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuhkan kedudukan Sabah dalam pelbagai sektor industri.

” Kerjasama dengan pihak industri akan diperhebat bagi meningkatkan tahap profesionalisme, membangunkan keupayaan dan menyediakan peluang-peluang untuk meningkatkan kemahiran.

” Kita juga telah membentuk jawatankuasa untuk mengkaji keperluan tenaga manusia dalam sektor-sektor kritikal termasuk minyak dan gas untuk memenuhi keperluan semasa dan juga jangka panjang.” jelasnya.

” Menjadi matlamat Kerajaan Negeri Sabah, sama ada melalui agensi-agensi mahupun GLC negeri, untuk menjadi peserta dan pemain utama dalam industri minyak dan gas sama ada dalam bidang huluan mahupun hiliran.

” Setakat ini terbukti bahawa usaha kita ini telah pun menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dan saya berharap agar PETRONAS dapat terus meningkatkan usaha-usaha dalam membangunkan keupayaan syarikat-syarikat tempatan serta modal insan di negeri ini. ” tambahnya lagi semasa merasmikan Majlis Pelancaran Pembinaan Bangunan Baharu Petronas pagi tadi. Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Huluan Malaysia, PETRONAS, Datuk Mohd Anuar Taib berkata, PETRONAS telahpun melabur lebih RM 100 billion untuk membangunkan pelbagai projek minyak dan gas dalam sektor huluan dan hiliran di Sabah.

” Menerusi pelaburan tersebut, PETRONAS menerajui pembangunan Projek Bersepadu Minyak dan Gas Sabah-Sarawak ( SSIOGP ). PETRONAS telah mula menghasilkan minyak dan gas di lapangan laut dalam Gumusut, Kakap, Kebabangan dan projek Kinabalu Non – Associated Gas ( KNAG ). Minyak dan gas yang dihasilkan ini disalurkan ke Terminal Minyak dan Gas Sabah ( SOGT ) yang terletak di Kimanis untuk mengisi keperluan pasaran, selain kegunaan domestik.

” Bagi segmen industri hiliran pula, PETRONAS melalui usahasama anak syarikatnya PETRONAS Gas Berhad dan Yayasan Sabah telah berjaya membangunkan Loji Janakuasa Kimanis ( KPP ) yang mampu menjana sehingga 300 MW tenaga elektrik.

” PETRONAS juga melalui anak syarikatnya PETRONAS Chemical Berhad dalam proses menyiapkan pembangunan loji Sabah Ammonia Urea ( SAMUR ) di Sipitang yang bakal meletakkan syarikat ini sebagai pengeluar baja urea kedua terbesar di Asia Tenggara. ” Jelasnya.

Mohd Anuar berkata, wujud keperluan menempatkan jumlah kakitangan operasi dan jabatan yang semakin hari semakin bertambah.

” Seiring dengan kemajuan perniagaan PETRONAS di negeri Sabah, kita telah memutuskan untuk membina sebuah bangunan baharu bersebelahan dengan Menara Petronas. Projek ini bernilai RM136.9 juta dan merupakan sebahagian perancangan jangka panjang PETRONAS untuk menampung keperluan operasi dan tenaga manusia di masa hadapan.

” Menara 11 tingkat itu nanti mampu menampung lebih 500 orang kakitangan dan berkonsepkan bangunan serba moden yang rekabentuknya diserasikan dengan bangunan sedia ada. Projek ini adalah usahasama antara Muhibbah Engineering ( M ) Bhd. dan Syarikat tempatan KK Dinamik Sdn Bhd. ” tambahnya lagi.

Mohd Anuar turut berkata, PETRONAS tetap mengutamakan aspek tanggungjawab sosialnya di negeri ini apabila mempelopori usaha pembangunan modal insan dalam industri minyak dan gas melalui penubuhan Pusat Latihan Petroleum Kimanis ( KTC ). Sebuah Maktab Rendah Sains Mara ( MRSM ) di Ranau juga akan dibina PETRONAS .

Seramai 4000 pelajar yang kurang berkemampuan juga telah mendapat manfaat daripada program biasiswa, pendidikan dan kemasyarakatan. PETRONAS juga aktif mendampingi  masyarakat melalui Program Sentuhan Kasih PETRONAS yang diadakan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan semasa musim perayaan. Program itu telah dijalankan sejak tahun 2005 meliputi banyak daerah seperti Sandakan, Papar, Sipitang, Ranau, Kudat dan Pensiangan.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Setiusaha Kerajaan Negeri,  Tan Sri Datuk Seri Panglima Sukarti Wakiman dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.

 

Tinggalkan komen anda