Oleh Norhayani Hashim (Kepala Batas)
KEPALA BATAS, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Menjadi kegemaran ramai, roti canai sentiasa menjadi pilihan untuk sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang mahupun makan malam. Kini, roti canai berwarna-warni yang menjadi trend terbaru di laman sosial, boleh dinikmati di Warung Roti Canai Pak Lah, di Kampung Permatang Keriang, Penaga, Kepala Batas.
Menurut penjual roti canai, Pak Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ismail, 45, beliau mendapat idea untuk membuat roti canai warna-warni apabila melihat abangnya, yang juga merupakan pengusaha warung roti canai membuat roti canai bewarna merah jambu.
Tertarik dengan keunikan itu, Pak Lah kemudian membuat transformasi roti canai yang diusahakannya kepada pelbagai warna lain seperti merah jambu, hijau, biru, coklat, kuning dan oren. Roti canai Pak Lah juga hadir dengan pelbagai perisa bagi setiap warna tersebut seperti vanilla, strawberi, pandan, coklat, pisang atau oren.
Pak Lah yang berasal dari Kulim, memaklumkan Malaysiaaktif bahawa jualan roti canainya meningkat selepas diberikan nafas baru. Sebanyak 100 keping roti canai warna-warni dijual pada hari biasa dan mencecah ke 500 keping pada hujung minggu.
Tambahnya, roti canai warna-warni di warungnya menggunakan warna dan perisa makanan yang dibenarkan yang diperolehi dari kedai barangan kek. Roti canai warna warni Pak Lah dijual dengan harga yang berpatutan, iaitu RM1 sekeping.
Di samping itu, Pak Lah juga turut menerima tempahan roti canai untuk kenduri kahwin.