Skip to main content
Berita TempatanSabah

Zunaidy, Hatijah Wakil Sabah ke Tilawah Al Quran Kebangsaan

By 27 Februari 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh Zuraidah Ahmad, Azman Jumat & Saiful Rahman Sabri (Sabah)

 KENINGAU, 27 Feb (Malaysiaktif) –? Qari, Zunaidi @ Ady Misdaranai dan qariah, Hatijah Marsuki yang memenangi kategori masing-masing malam tadi, akan mewakili Sabah ke Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Putrahjaya pada 20 Mac ini.

Zunaidi, 36, berasal dari Kg Sembirai, Kota Belud adalah seorang pendidik di SK Lepasan Kota Kinabalu, manakala Hatijah, 43, dari Merotai, Tawau pula merupakan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Lahad Datu.

Mereka dinobat sebagai Johan Qari dan Qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri 1437H/2016M setelah menewaskan 10 peserta lain daripada enam bahagian.

Hadiah disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mewakili Ketua Menteri Sabah di Dewan Masyarakat yang turut dihadiri lebih tujuh ribu penonton.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Dabah, Datuk Syed Abas Syed Ali; Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Sairin Karno; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis berkenaan; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sukarti Wakiman dan Pegawai Darah, Yusof Osman.

Dengan hanya sedikit perbezaan markah antara kedua-dua guru tarannum Kelas Tahsin Al-Quran itu, Zunaidi akhirnya diumum sebagai Johan Terbaik Negeri dan menerima tambahan RM1,000 serta sebuah trofi, sekaligus mengulangi kejayaannya pada tahun 2014.

Menurutnya, kejayaan berganda yang dirainya itu diiring rasa syukur dan penghargaan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang telah membuka ruang kepada dirinya menerusi Program Bimbingan Membaca Al-Quran dalam kalangan guru di Sabah pada tahun 2004.

“Sejak kecil lagi, saya suka menonton program tilawah menerusi televisyen dan di situlah mula timbul minat untuk belajar seni bacaan kitab suci Al-Quran.

“Saya mencuba nasib dalam musabaqah sejak tahun 2003, tetapi sering gagal menembusi peringkat bahagian. Bagaimanapun, sepanjang tempoh itu, saya tidak pernah berputus asa.

“Sebaliknya, saya terus meningkatkan usaha dengan mengikuti Kelas Tahsin Al-Quran yang anjuran JHEAINS untuk mendalami bacaan dari segi tajwid, tarannum, fasahah dan sebagainya.

“Alhamdulillah, selepas itu saya berjaya mewakili Bahagian Pantai Barat Utara (PBU) ke peringkat negeri pada 2014 dan pada malam ini sekali lagi dipilih sebagai Johan Terbaik Negeri oleh para juri, terima kasih,” jelasnya.

Mengulas mengenai pesaingan, Zunaidi berkata, dia hanya melakukan yang terbaik dan selebihnya menyerahkan kepada rezeki kerana kebanyakan peserta masing-masing mempunyai rekod kejohanan peringkat negeri, malah ada di peringkat kebangsaan.

Sementara itu, Hatijah yang mengungguli Johan Qariah Negeri kali ke10 dan pernah mencatat kemenangan sebagai Johan Terbaik Negeri sebanyak tiga kali sebelum ini berkata, beliau akan meneruskan usaha untuk mendidik lebih ramai lagi anak-anak bangsa serta umat Islam yang ingin belajar mengaji Al-Quran.

 

Tinggalkan komen anda