Oleh Nabilahaishah Tawang (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 6 Mac (Malaysiaaktif) — Keenakkan dan kelazatan makanan tradisional Terengganu memberi ilham Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu untuk mempromosi produk tempatan yang kini hampir tidak dikenali terutama kepada generasi muda, masyarakat luar Terengganu dan pelancong asing.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Marzuki Endut berkata, sebagai langkah pertama pihaknya akan mengadakan pertandingan yang dinamakan Pertandingan Makanan Sedap 2016 yang membabitkan pertandingan antara daerah yang terdapat di negeri ini.
Katanya, pertandingan yang membabitkan 86 jenis makanan tradisional Terengganu itu akan diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran di sini pada 10 Mac 2016 ini.
`Kita mengenal pasti makanan tradisional yang disenaraikan untuk dipertandingkan itu sebagai usaha agar ianya tidak pupus dan sentiasa berada dipasaran untuk dinikmati generasi masa kini dan masa depan’,katanya pada sidang akhbar selepas melawat pejabat Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) di sini hari ini (6 Mac 2016). Yang turut hadir ialah Presiden Kawat, Ayob Mamat.
Selain itu, pertandingan bersempena Program Beautiful Terengganu 2016 yang akan diadakan di Johor Bahru pada 23 hingga 27 Mac depan dan jenis makanan yang dipertandingkan itu akan bawa ke sana sebagai tarikan kepada masyarakat luar untuk menikmati keenakan makanan Terengganu.
Marzuki berkata, makanan tradisional yang enak dan lazat boleh dijadikan tarikan orang ramai terutama pelancong untuk mengunjungi Terengganu.
Penganjuran Pertandingan Makanan Sedap 2016 diadakan selepas mendapati ramai generasi muda atau gen Y yang kini tidak lagi kenal makanan tradisional Terengganu selain tidak pernah rasa keenakan makanan tersebut.
Katanya, Kerajaan Negeri Terengganu melalui YPU dapat mengenalpasti pengusaha makanan tradisional yang masih aktif dalam penghasilan produk itu.
Selain itu, ianya turut mampu melahirkan bakat baru dikalangan generasi muda untuk terbabit dalam penghasilan makanan dan dilakukan secara serius bagi tujuan komersial serta bersaing dalam pasaran.