Skip to main content
Berita TempatanSabah

Main Peranan Ajak Masyarakat Kekalkan Keharmonian

By 6 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Zuraidah Ahmad & Jeffren Malaning (Sabah)

 KOTA KINABALU, 6 Mac (Malaysiaktif) –? Masyarakat di negeri ini digesa memainkan peranan sebagai agen untuk mengajak masyarakat luar mengekalkan keharmonian kaum dalam negara.

Menteri Tugas – Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang berkata perbezaan budaya, bahasa dan agama adalah kekuatan bagi rakyat Sabah untuk terus menikmati keamanan dan keharmonian melalui amalan saling hormat-menghormati dan saling menerima.

“Sabah mempunyai 41 etnik yang telah mengamalkan budaya saling hormat-menghormati dan saling menerima perbezaan sejak sekian lama. Perbezaan inilah yang menjadi kekuatan yang unik bagi rakyat di sini.

“Justeri, setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan dengan menganggap diri sebagai agen untuk mempengaruhi atau mengajak masyarakat di luar Sabah untuk bersama-sama mengekalkan perpaduan sedia ada,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Anak Sabah Run di Dataran Kompleks Sukan dekat Likas, pagi tadi.

Larian sejauh tujuh kilometer itu merupakan anjuran Kelab Sukan Borneo Cemerlang di bawah Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah yang berjaya menarik lebih 2,000 peserta bertemakan ‘Towards Harmony’.

Mengulas mengenai program berkenaan, Chee Kang berkata, ia merupakan program tahunan yang telah diubah objektifnya daripada mengutip dana untuk sekolah-sekolah kepada program yang menyuburkan dan mengekalkan elemen-elemen perpaduan dan keharmonian.

Tema tersebut juga disifatkannya sesuai dan tepat pada masanya untuk mengukuhkan perpaduan berdasarkan potensi pergolakan politik semasa.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Datuk Seri Ahmad Ayid memuji objektif dan pelaksanaan program berkenaan yang dilihat berupaya melahirkan masyarakat yang menjaga kebersihan bandar raya dan menghargai keharmonian kaum.

Menurut beliau, solidariti dan kekuatan perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini amat diperlukan khususnya ketika negara berdepan  dengan pelbagai isu seperti isu tuntutan Sabah yang kini masih diangankan pihak Kesultanan Sulu.

 

Tinggalkan komen anda