Skip to main content
HomeViral

Sekat TMI Adalah Tanggungjawab SKMM – MPN

By 6 Mac 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman The Malaysia Insider (TMI) adalah wajar berlandaskan fungsi suruhanjaya itu mengawal selia penyiaran dan aktiviti dalam talian, kata Majlis Profesor Negara (MPN).

Timbalan Ketua Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi MPN Prof Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berpendapat SKMM bertindak mengikut bidang kuasanya melalui peruntukan perundangan yang sedia ada.

Beliau berkata apa sahaja kandungan dalam laman sesawang di negara ini tertakluk kepada kawalan undang-undang yang diluluskan pihak berkuasa.

“Dalam konteks ini, SKMM menyekat portal TMI selepas menerima aduan yang kemungkinan kandungan berita itu menjejaskan keselamatan negara, maka tindakan susulan seperti siasatan dan sekatan boleh diambil mengikut kuasa yang ada,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurut Shahrin, tindakan SKMM itu tidak bercanggah dengan dakwaan kononnya ia menyekat hak kebebasan media, sebaliknya katanya kebebasan bersuara haruslah bersyarat dan tertakluk kepada undang-undang khusus.

“Jika bercakap soal kebebasan media, negara kita masih terbuka jika hendak dibandingkan dengan negara lain yang agak terhad dan ekstrem seperti China dan Arab Saudi.

“Bagaimanapun, langkah pengawasan dari semasa ke semasa telah ditingkatkan supaya anasir-anasir negatif yang wujud dalam capaian baharu seperti internet boleh disekat lebih awal,” katanya.

Pada 25 Feb lepas, SKMM menyekat laman TMI ekoran tindakan portal berkenaan mengeluarkan kandungan yang menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia dan tindakan dilakukan berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

Sementara itu, Jawatankuasa Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan MPN Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata SKMM mengambil pendekatan itu kerana bertindak atas prinsip melaksanakan tanggungjawabnya.

“Apabila laman sosial, blog atau portal menyampaikan maklumat kabur dan salah maka sewajarnya ia disekat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan seperti itu akan menjadi iktibar kepada yang lain supaya sentiasa peka dan mematuhi peratuhan bagi menjamin kelangsungan maklumat yang disampaikan adalah beretika, tepat dan sahih,” katanya.

Bagi seorang lagi ahli MPN Prof Dr Datuk Mahmood Zuhdi Ab Majid, beliau percaya SKMM telah membuat pertimbangan sewajarnya dan bertindak berasaskan data yang jelas sebelum mengambil keputusan menyekat laman berkenaan.

Sekiranya media sosial terlampau bebas tanpa sebarang pemantauan ia akan menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan terumbang-ambing, katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata siasatan berkaitan kes kandungan atas talian dan perkhidmatan rangkaian seperti televisyen dan radio boleh dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Ini termasuk menghantar apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, mengugut atau mengganggu orang lain.

“Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen ini boleh disabitkan, dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Selain itu, Zulkarnain menegaskan pengamal industri dan orang ramai seharusnya merujuk panduan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia yang bertujuan sebagai tatacara untuk mengenal pasti sesuatu kandungan yang ofensif atau tidak boleh diterima dari segi perundangan dan nilai sosial dalam negara.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda