Skip to main content
Berita TempatanSabah

226 Mangsa Bencana Gempa Terima Bantuan Wang Ihsan

By 4 Mac 2016Mac 6th, 2016Tiada komen1 minit bacaan
Oleh Eviannie Kin Mei Hoon & Abdul Sani Ariff Lokman (Sabah)

KOTA BELUD, 4 Mac (Malaysiaktif) –? Seramai 226 pemilik rumah di daerah ini yang terjejas akibat bencana gempa bumi di Ranau pada 5 Jun tahun lepas, menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM3,000.

Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam berkata pengagihan bantuan itu merupakan sumbangan ikhlas daripada kerajaan untuk membantu meringankan beban mangsa buat sementara waktu.

“Bantuan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan jelas memperlihatkan usaha untuk membantu mangsa yang terlibat,” katanya.

Jelas Gari, bantuan tersebut bukan ganti rugi atau pampasan atas kerugian yang ditanggung mangsa namun sekadar untuk membantu bagi memulakan kehidupan setelah dilanda bencana.

“Jika hendak dibandingkan dengan kerosakan harta benda yang telah dialami oleh mangsa, jumlah yang disumbangkan tidak setimpal tetapi atas rasa prihatin, simpati serta tanggungjawab, pihak kerajaan menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas untuk membantu mengurangkan beban,” tambah beliau.

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Said Keruak di Pejabat Daerah Kota Belud, pagi tadi.

 

Tinggalkan komen anda