Oleh Fauzrina Hj Bulka dan Md Muhaimin Amran (Melaka)
MELAKA, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Ayam Cemani mungkin tidak sepopular ayam biasa tetapi tetap ada peminatnya tersendiri terutama sekali yang ingin mendapatkannya untuk tujuan perubatan.
Tidak sukar untuk mengenali ayam Cemani kerana bermula dari balung hingga ke kaki ayam ini kesemuanya berwarna hitam termasuk isinya.
Menurut Pengurus Zali Agro Farm, Wan Suzela Wan Harun, 35, ayam Cemani merupakan ayam tempatan asli Indonesia yang berasal dari Pulau Jawa. Beliau telah mewarisi perusahaan ladang ayam Cemani milik keluarganya yang terletak di Besut, Terengganu.
“Harga ayam dewasa mampu mencapai RM3,500.00 seekor atau RM16.00 sekilogram dan kami menjualnya pada harga RM5,000.00 untuk sepasang,” katanya.
Tambah Wan Suzela, rasa daging ayam Cemani manis berbanding daging ayam biasa dan sup ayam Cemani biasanya diamalkan oleh wanita lepas bersalin atau pesakit yang mempunyai masalah pendarahan dalaman.
Ayam Cemani hanya menggunakan rumput napier yang diimport khas daripada India. Bagi menjimatkan kos, pemilik Zali Agro Farm ini telah menanam rumput ini sendiri di ladang beliau.
Untuk mempercepatkan pembiakannya, Zali Agro Farm turut mencipta mesin eram telur dan ia mampu membantu mempercepatkan proses penetasan telur dalam tempoh seawal 18 hari.
Ayam Cemani berasal dari Indonesia dan perkataan “cemani” membawa maksud hitam legam dalam bahasa Jawa.