Skip to main content
Berita TempatanSabah

66 Penyewa PPR Jalan Sagindai Diberi Notis Amaran

By 5 Mac 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh Zuraidah Ahmad & Abdul Sani Ariff Lokman (Sabah)

 PAPAR, 5 Mac (Malaysiaktif) –? Seramai 66 penyewa unit kediaman rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR)  Jalan Sagindai dekat Kinarut, diberi Notis Amaran dan Pengosongan kerana menyewakan semula unit mereka (sublet) kepada pihak ketiga.

Selain itu, 50 penyewa lagi turut mendapat Notis Peringatan kerana gagal membayar sewa bulanan bagi unit kediaman masing-masing.

Mereka adalah antara 118 penyewa yang dikenalpasti semasa Operasi “Ops Sejahtera Komuniti’, pagi tadi, yang menumpukan kepada aspek penyewaan kepada pihak ketiga, tunggakan bayaran sewa dan penyalahgunaan premis.

Mengetuai operasi tersebut, Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata beliau bimbang dan kecewa kerana kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk membina 120,000 PPR di seluruh negara.

“Tujuan PPR ini dibina adalah untuk memberi peluang kepada rakyat yang tidak mempunyai kemampuan untuk membeli, membina atau menyewa diberikan peluang oleh kerajaan.

“Secara purata, kos untuk membina rumah berkenaan menelan belanja antara RM150 ribu hingga RM190 ribu seunit, tetapi kerajaan menjualnya kepada rakyat Sabah dengan harga RM45 ribu. Ini bermakna kerajaan telah memberi subsidi lebih RM100 ribu bagi setiap unit.

“Kita tidak mahu peluang ini disalahguna oleh mereka yang membeli unit ini kerana ia melibatkan wang rakyat dan perlu dipantau supaya tidak disalahguna.

“Ketika ini, kerajaan mengenakan sewa RM124 hingga RM150 sebulan kepada setiap penyewa. Tetapi penyewa pula menjana keuntungan dengan menyewakan unit berkenaan kepada pihak ketiga dengan sewa RM300 hingga RM400 sebulan,” ujarnya.

Jelas beliau, isu mengenai penyewa rumah PPR menggunakan unit kediaman rumah PPR untuk disewakan (sublet) kepada pihak ketiga termasuk warga asing telah dibangkitkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Januari lalu.

Sehubungan itu, operasi berkenaan adalah usaha ke arah membentuk kesejahteraan komuniti di semua PPR dan dalam kalangan penghuninya, selaras dengan hasrat kerajaan memfokus kepada aspek penguatkuasaan dan pemantauan PPR bermula tahun ini.

Ia dijalankan secara berhemah dan harmoni dalam suasana yang baik bertujuan untuk memberi kesedaran kepada semua penghuni agar lebih menghargai serta bertanggungjawab semasa mendiami rumah PPR.

Tambahnya, KPKT dan pihak berkuasa negeri akan mengambil tindakan sewajarnya dengan mengeluarkan Notis Peringatan kepada penyewa yang gagal membayar sewa bulanan, Notis Amaran dan Pengosongan terhadap penyewa yang menyewakan kepada pihak ketiga dan arahan pengosongan serta merta bagi mereka yang didapati menyewakannya kepada warga asing.

PPR yang siap dibina pada tahun 2009 itu merangkumi lima blok rumah pangsa lima tingkat dengan jumlah kediaman rumah sebanyak 500 unit, menjadi lokasi pertama bagi operasi itu yang dijalankan secara bersepadu (NBOS) oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Perumahan  (KPKT) bersama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah.

Ia turut dijayakan dengan kerjasama Majlis Daerah Papar, Majlis Daerah Putatan, Majlis Daerah Tuaran, Majlis Daerah Penampang, Pejabat Daerah Papar, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Selain Sabah, operasi itu juga akan berterusan dan diperluas kepada PPR di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Johor, Sarawak.

Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan PPR Taman Harmoni Sandakan yang telah dibeli dengan harga RM162 juta merangkumi 1000 unit rumah siap dan PPR di Kunak melibatkan 400 unit rumah siap oleh Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Mohammad Mentek kepada Kerejaan Negeri yang diwakili Setiausaha Tetap KKTP Sabah, Mathius Sator.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan dan Ketua Pemuda Umno Bahagian, Amirzan Ali.

 

Tinggalkan komen anda