Oleh Yahya Abdul Rajak & Saiful Rahman Sabri (Sabah)
KOTA KINABALU, 05 MAC 2016 (Malaysiaktif) –? Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi membuktikan ianya adalah sebuah institusi penyelidikan unggul Sabah apabila dilantik sebagai peneraju penyelidikan persoalan jenayah, keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah dengan termeterainya memorandum antara UMS dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Canselor pagi tadi.
Majlis tandatangan Memorandum Persefahaman turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Zahid Hamidi, merangkap Menteri Dalam Negeri sekali gus dilantik sebagai Profesor Adjung di Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan Sabah (SASSREC) UMS.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman selaku Pro-Canselor UMS berkata “kerajaan negeri Sabah menyokong penuh apa jua usaha kerajaan pusat khususnya KDN termasuklah inisiatif menjalin kerjasama perkongsian kepakaran dalam aspek ‘keselamatan dan ketenteraman Awam’.
“Saya yakin dengan terjalinnya secara rasmi kerjasama antara kedua organisasi dan institusi ini ia bakal menghasilkan perbincangan dan perkongsian maklumat serta dapatan bermanfaat untuk meningkatkan aspek berkenaan di Malaysia, khususnya di Sabah ini.
Katanya lagi, “rakyat merupakan mata dan telinga kerajaan dan pihak berkuasa, untuk menyalur atau menyampaikan sebarang bentuk maklumat berkaitan keselamatan di tempat masing-masing.
“Ini amat penting supaya langkah pencegahan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa bagi menyekat sebarang bentuk ancaman yang boleh memudaratkan keselamatan negeri Sabah.
“Kerajaan negeri yakin dan percaya menerusi seminar ini, ia dapat memberikan pendedahan dan meningkatkan kesedaran akan pentingnya kita bersatu hati, tenaga berganding bahu memastikan ancaman keselamatan khususnya di Pantai Timur Sabah dapat ditangani dengan berkesan,” Ujarnya ketika menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Timbalan Perdana Menteri pagi tadi.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri turut merasmikan Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (SEKAM) 2016 yang merupakan acara tahunan antara UMS, Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) dan Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan Sabah (SASSREC).
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Sri Alwi Hj.Ibrahim; Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Tuan Masir Anak Kujat; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman; Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun; Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri; Pegawai-pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia; Pegawai-Pegawai Kanan Universiti Malaysia Sabah.