Skip to main content
Berita TempatanSabah

Amerika Perlu Tegas Laksana Polisi Pencemaran– Masidi

By 29 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Asmidar Zainol & Volintine S.Jiloh  (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 29 Mac  (Malaysiaktif) –? Malaysia dan negara-negara luar terutamanya Amerika Syarikat digesa untuk tegas dalam melaksanakan dasar dan polisi berkaitan masalah pencemaran alam sekitar.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, negara-negara dunia ketiga, sering dipersalahkan atas masalah perubahan iklim, penebangan hutan dan semua pencemaran.

“Melihat kepada statistik pencemaran dunia, negara-negara kecil ini bukanlah penyumbang utama kepada permasalahan tersebut berbanding penyumbang utama iaitu Amerika dan China.

“China ada mengambil inisiatif mengurangkan pelepasan karbon dan pembaharuan tenaga manakala Amerika tidak menandatangani Koyoto Protokol, iaitu sebuah perjanjian mengurangkan pelepasan karbon dunia.

“Di Amerika, badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan aktif bercakap tentang permasalahan ini, tetapi di peringkat kebangsaan mereka menolaknya dan tidak menyokong protokol antarabangsa tersebut,” ujar Masidi.

Masidi turut menggesa pihak berwajib bertindak lebih serius melaksanakan polisi tenaga yang boleh diperbaharui memandangkan polisi tersebut telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

“Sokongan padu politik penting untuk memastikan dasar ini dapat dilaksanakan. Malaysia mempunyai banyak dasar alam sekitar yang baik tetapi pelaksanaannya kurang oleh sebab tiada sokongan politik,” katanya lagi.

Masidi berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman merasmikan Seminar Perubahan Iklim dan Pembangunan Masyarakat di sini semalam.

Seminar anjuran Institute for Development Studies (IDS) Sabah, Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) dan Koperasi Pengguna Sabah Berhad (Ko-Pengguna) ini disertai 160 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, NGO serta pusat pengajian sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran dan pengalaman dalam mengatasi pencemaran alam.

Turut hadir ialah Mayor Bandar Raya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, Pengerusi IDS Sabah, Datuk Seri Panglima Clarence B. Malakun, wakil KAS, Jan Senkyr, Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Mohd Hasnol Ayub dan Pengerusi Ko-Pengguna, Joshua Kong.

Tinggalkan komen anda