Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantanViral

Jambatan Guillermard Ikon Sejarah Sungai Kelantan

By 2 Mac 2016Tiada komen1 minit bacaan
Laporan / foto: Wan Arif  Fadhilah Wan Yusoff & Siti Rawaida Mohd Nor (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 2 Mac (Malaysiaaktif) — Pada 1925 pihak pentadbiran British Malaya telah membuka Jambatan Guillermard untuk mengatasi masalah menyeberang Sungai Kelantan untuk ke daerah Machang.

Kerja pembinaan jambatan sepanjang 609 meter ini bermula pada 1920 dan siap sepenuhnya pada 1924.

Struktur binaan yang 80 peratus menggunakan besi pada jambatan ini di reka bagi membolehkan pelbagai kenderaan menggunakannya, termasuk keretapi, kereta, motosikal, basikal dan juga pejalan kaki.

Pada waktu itu Jambatan Guillermard merupakan jambatan terpanjang di Malaya. Nama ‘Guillermard’ diambil dari nama Gabenor British Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu, Sir Laurence Guillermard.

Mengimbau zaman, seorang penduduk, Mat Husin Mamat, 63, berkata jambatan itu pernah dijadikan laluan oleh penjenayah untuk melakukan kegiatan mencuri merentas daerah.

Selain itu, penduduk persekitaran turut menggunakan jambatan tersebut untuk menjual makanan dan minuman kepada penumpang keretapi dan pengguna lain.

Apabila tercetus Perang Dunia Ke-2, pihak British mengambil keputusan untuk memusnahkan Jambatan Guillermard supaya tidak jatuh ke tangan tentera Jepun.

Pada 1948 jambatan ini diperbaiki dan digunakan semula hingga tahun 80an apabila sebuah jambatan baharu dibina bagi menghubungkan Tanah Merah ke Machang.

Hari ini, Jambatan Guillermard yang juga dikenali sebagai Jambatan Kursial kekal hanya sebagai sebuah ikon yang menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk memancing dan sebagai tarikan untuk sesi fotografi dan lawatan.

 

Tinggalkan komen anda