Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

UIAM Perluas Kepakaran Bidang Perbankan Islam Di India

By 2 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini mengorak langkah yang lebih jauh apabila termeterainya Perjanjian Persetujuan (MoA) dengan sebuah institut pengajian tinggi di Kerala, India iaitu Akademi Ma’din dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, UIAM Kampus Gombak.

Presiden UIAM yang juga Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosio Budaya, Tan Sri Utama Dr. Rais Yatim yang menyaksikan majlis menandatangani MoA tersebut berkata, perjanjian persetujuan ini akan mewujudkan kerjasama dalam menawarkan program pasca siswazah dalam bidang perbankan dan kewangan Islam di Kerala, India.

“UIAM mempunyai dasar untuk mengembangkan sayap ke peringkat antarabangsa dan perbankan Islam adalah pilihan utama malah kami berharap perjanjian persetujuan ini akan menjadi jambatan bagi UIAM terhadap institusi-institusi lain”, katanya.

Tambah beliau, kerjasama ini juga mampu membuka peluang yang luas untuk UIAM di India dan UIAM akan cuba mewujudkan jaringan dengan negeri-negeri lain di India terutama dengan Delhi, Punjab, India Selatan dan lain-lain serta akan membuka peluang kepada masyarakat bukan Islam juga.

“Ketika ini UIAM mempunyai seramai 5,520 orang pelajar antarabangsa dan selepas ini berhasrat akan menambah jumlah tersebut agar nisbah pelajar UIAM pasaran antarabangsa melebihi 30 peratus selaras dengan cita-cita Malaysia yang ingin menjadi hub pusat pengajian tinggi di dunia”, ujar beliau.

UIAM diwakili oleh Rektor Prof. Dato Sri Dr. Zaleha Kamarudin dan Timbalan Rektor (Pengantarabangsaan dan Hubungan Induatri serta Komuniti) Prof. Dr. Abdel Aziz Berghout manakala Akademi Ma’din diwakili oleh Pengarah Besar Prof. Dr. K.K.N Kurup dan Pengarah Hubungan Antarabangsa Dr. Abbas Panakkal.

UIAM menerusi Pusat Strategik dan Latihan akan mengendalikan semua aspek berkaitan penawaran program ini di Kerala bersama dengan Akademi Ma’din yang mempunyai 25 pusat pendidikan menawarkan pendidikan Islam di pelbagai peringkat di beberapa negara lain terutamanya di negara-negara Teluk dan Timur Tengah.

UIAM yang juga telah dinobatkan sebagai Institusi yang terbaik di dunia dalam penerbitan bidang Perbankan dan Kewangan Islam pada 2015 dan akan menggunakan peluang ini untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan bersama dengan Akademi Ma’din dan institusi lain di India.

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda