Laporan/Foto : Suhaidi Mat Jusoh (Pasir Mas)
PASIR MAS, 19 Mac (Malaysiaaktif) — Rumah adalah keperluan asas bagi setiap keluarga. Harga rumah yang semakin meningkat menjadikannya satu keutamaan mutlak.
Dalam keadaan sekarang, walaupun mempunyai tanah sendiri namun kos pembinaan serta harga tinggi bahan-bahan yang diperlukan menghimpit golongan tidak bernasib baik untuk memiliki rumah.
Sehubungan itu, semalam lapan keluarga dari Kampung Tasik Berombak, Gual Periuk dan Rantau Panjang menerima kunci rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Majlis yang berlangsung di Dataran Tasik Berombak, Gual Periuk, Rantau Panjang ini merupakan salah satu program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan dan miskin dalam memiliki rumah sendiri.
Seorang penerima kunci rumah PPRT yang ditemui, Asiah Abd.Wahid, 46, berkata beliau sangat terharu dan bangga apabila menerima kunci rumah sendiri.
“Saya rasa seperti bermimpi bila mendapat kunci rumah, kerana selama ini saya dan keluarga tinggal di rumah usang. Dengan rumah baru ini, saya rasa amat selesa dan bangga, khususnya anak-anak yang sebelum ini malu dengan rakan-rakannya kerana keadaan rumah kami,” ujar beliau sambil menahan sebak kegembiraan.
Sebahagian besar penerima bekerja sendiri sebagai petani atau mengambil upah melakukan kerja-kerja pertaniaan di sekitar kampung.
“Walaupun kami ada tanah sendiri tapi kos bina rumah sangat tinggi. Kami tiada pendapatan tetap dan slip gaji untuk pohon pinjaman bank,” tambah Asiah lagi.