Laporan / foto: Mohd Noor Mahmuddin Mohd Mahlil &Mohd Khairul Anuar Abd Razab (Jeli)
JELI, 3 Mac (Malaysiaaktif) — Daerah Jeli yang pernah ditenggelami Bah Air Merah pada 1926 kini membangun pesat dan menjadi pusat akademik negeri Kelantan dengan wujudnya Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli (UMK), Politeknik, Kolej Komuniti serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Dalam kepesatan pembangunan ini, terlipat satu sejarah silam Gunung Reng di Kampung Batu Melintang yang menjadi mercu tanda daerah Jeli. Gunung Reng berdiri gagah berhampiran Sungai Reng dan dapat dilihat dengan jelas bagi pengguna Lebuh Raya Timur-Barat hala Jeli ke Gerik.
Gunung Reng menyimpan pelbagai warna sejarah, selain dikaitkan dengan legenda dan mitos.
Menurut anak jati Jeli, Asri Ghani, 45, tapak Gunung Reng asalnya Kampung Tala yang dibuka oleh Tok Tadoh keturunan Pulang Hari dari Jawa kira-kira 1,400 tahun dahulu.
Tradisi Kampung Tala dahulu kala ialah kenduri besar-besaran tujuh hari tujuh malam oleh Ketua Kampung beserta dengan pelbagai permainan tradisi.
Pada hari ketujuh, bagi menyempurnakan upacara penutup, mereka telah bersidang dan bersetuju untuk mengadakan pertandingan berlaga anjing dengan kucing di atas bumbung rumah.
Menjelang waktu Zohor kedua-dua haiwan ini dilepaskan dilagakan di atas bumbung rumah. Diriwayatkan juga, semasa sedang berlaga dalam cuaca panas terik, tiba-tiba berlaku ribut dan taufan berserta hujan yang sangat lebat.
Dalam keadaan ribut taufan sedang mengganas, seorang perempuan tua bersama cucunya berlari ke kampung berhampiran, iaitu Kampung Gantung untuk menyelamatkan padi yang dijemur. Setelah selesai memunggah padi yang dijemur, ribut taufan berserta hujan pun berhenti secara tiba-tiba.
Perempuan tua tersebut dikatakan kembali ke Kampung Tala dan terkejut melihat Kampung Tala telah lenyap dihempap gunung.
Menurut Asri, orang-orang tua menceritakan gunung yang menghempap Kampung Tala itu dikatakan asalnya terletak di hulu Sungai Reng, yang kira-kira jarak perjalanannya tiga hari dua malam perjalanan di sempadan Kelantan/Perak. Tapak asal gunung ini dikatakan telah menjadi kolam yang besar.
Gunung Reng dinamakan bersempena dengan nama sungai cetek yang mengalir di sisinya, Sungai Reng.
Terdapat beberapa gua seperti bilik di dalam Gunung Reng, iaitu Gua Bedak, Gua Payong, Gua Kaca, Gua Rimau dan Gua Batak. Pintu besar Gunung Reng ialah Gua Payong yang merupakan laluan utama ke bilik-bilik atau gua-gua lain, anjung gunung sehingga ke puncak.
Gunung ini juga dikatakan pernah menjadi tempat pertapaan Puteri Sa’adong. Walau bagaimanapun baginda tidak tinggal lama di situ kerana tabiat masyarakat kampung yang tidak mengembalikan peralatannya yang dipinjam.
Ekoran dari kekecewaan itu, Puteri Sa’adong membawa diri ke Gua Ayam di Gua Musang.