Skip to main content
Berita TimurKelantan

Mercu Batu Gajah jadi tempat buang sampah

By 18 Mac 2016Mac 20th, 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Siti Rawaida Mohd Nor / Wan Hasyim Wan Muhammad

TANAH MERAH, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Kampung Batu Gajah yang terletak di pinggir Lebuh Raya Timur-Barat bukanlah sekadar nama sahaja, namun mempunyai sejarah tersendiri di sebalik keunikan namanya. Perkampungan ini didiami seramai 3116 orang penduduk dengan aktiviti ekonominya menoreh getah dan perniagaan kecil-kecilan.

Berdasarkan topografi, persekitaran dan maklumat setempat, Kampung Batu Gajah sebelum ini merupakan sebuah hutan besar, belukar tebal dan semak-samun yang menjadi koloni dan laluan haiwan liar termasuklah gajah. Di sebalik semak samun dan hutan belukar itulah berdirinya sebongkah batu yang menyerupai gajah dan dijadikan mercu tanda serta nama bagi Kampung Batu Gajah.

Menurut masyarakat di sini Kampung Batu Gajah pada masa dulu adalah sebuah kampung yang agak terkenal dan merupakan pusat pentadbiran Kerajaan seperti Pejabat Penggawa, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Klinik Kesihatan Besar bagi penduduk kampung-kampung persekitaran. Ini kerana Kampung Batu Gajah terletak antara dua bandar iaitu Tanah Merah dan Jeli.

Pembangunan perbandaran yang pesat di Jeli dan Tanah Merah semakin meluputkan sejarah dan ingatan masyarakat terhadap keunikan mercu tanda Kampung Batu Gajah. Kini, mercu tanda Batu Gajah terabai dan dipenuhi semak malah, dijadikan tempat pembuangan sampah dan sangat busuk.

Mercu Batu Gajah tenggelam dari pandangan dan ingatan. Artifak sejarah ini mungkin lama kelamaan akan hilang berikutan proses pembangunan yang pesat. Lebih mendukacitakan ialah Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) menempatkan tong sampah besar yang terbiar berhampiran bongkah Batu Gajah dan mencacatkan pandangan di kawasan ini.

Penduduk tempatan melahirkan kekecewaan terhadap Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) yang mengabaikan bongkah Batu Gajah yang sepatutnya dipelihara sebagai simbol mercu tanda Kampung Batu Gajah. Kerana ianya boleh dijadikan tempat tarikan orang awam selain dapat memajukan ekonomi penduduk sekitar.

Tinggalkan komen anda