Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

Perpaduan Pemimpin, Ahli Adalah Kunci Kekuatan UMNO

By 2 Mac 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Kekuatan UMNO selama ini adalah bergantung pada keupayaan semua pemimpin serta ahli UMNO mempertahankan perpaduan.  Cogan kata parti terbesar Melayu itu, “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” sentiasa dihayati  bagi memastikan perpaduan dan keutuhan parti terus kekal. Penghayatan terhadap cogan kata inilah yang menjadi rahsia UMNO terus kekal menjadi tunjang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selama kewujudannya di persada politik tanah air, parti keramat itu berjaya mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran sama ada cabaran dalaman mahupun dari luar parti. Sebarang tindakan atau perselisihan yang boleh memporak-perandakan parti dihadapi dengan tenang dan usaha mengatasinya dilakukan segera supaya parti tidak menerima kesannya.

Sejarah UMNO mencatatkan bahawa  setiap kali ada masalah yang melanda parti itu, pemimpin dan ahli UMNO akan terus bersatu, setia kepada parti dan setia kepada pemimpin yang menerajui parti.

Cabaran dan dugaan paling besar pernah dihadapi UMNO ialah apabila parti itu diharamkan pada tahun 1988. Kesan daripada pengharaman itu menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad gugur jawatannya sebagai Perdana Menteri dan berlaku kekosongan ‘Perdana Menteri Malaysia’ buat beberapa hari. Tun telah menyerahkan tugas Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Presiden MCA ketika itu, Tun Ling Liong Sik sehinggalah UMNO Baru ditubuhkan.

Walaupun UMNO diharamkan ketika itu, namun kekuatan perpaduan pemimpin dan ahli parti yang setia masih terserlah menyebabkan parti itu berjaya ditubuhkan kembali. Sejarah UMNO juga mencatatkan bekas-bekas Presiden UMNO Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman  keluar parti juga tidak menjejaskan kelangsungan parti itu. Ini disebabkan wujudnya perpaduan yang kukuh, di samping keupayaan UMNO untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Terbaharu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan dirinya keluar parti. Oleh sebab Tun Mahathir dilihat negarawan yang dihormati dan berpengaruh masih maka sedikit sebanyak tindakannya itu boleh memberi kesan kepada UMNO-BN.

Dalam berhadapan situasi ini pemimpin dan ahli parti perlu menggunakan kematangan dan kewarasan supaya UMNO dapat terus dipertahankan dan kekal menjadi wadah kepada perjuangan bangsa dan agama. Pemimpin dan ahli parti mesti terus memberi sokongan dan membantu presiden mempertahankan kekuatan parti dengan berpegang kepada prinsip ukhuwah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyebut bahawa kejayaan parti itu berhadapan dengan segala bentuk cabaran bukan sahaja disebabkan kebijaksanaan pemimpinnya tetapi ia juga disebabkan adanya perpaduan dan kesetiaan ahli parti terhadap pucuk pimpinan.

Justeru, dalam berhadapan dengan tindakan Tun Mahathir itu, pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh berpecah belah. Sebenarnya, Tun Mahathir pernah keluar parti pada tahun 2008 kerana tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika Tun berada di luar UMNO ketika zaman Tunku Abdul Rahman dan Abdullah Badawi, beliau tidak pernah menyertai parti lain walaupun beliau  beberapa kali bercakap di pentas PAS dan DAP. Sungguh pun begitu, UMNO tidak terkesan dengan peristiwa itu. Parti terbesar Melayu itu terus diberi mandat mentadbir negara ini. Kuncinya ialah penghayatan terhadap perpaduan.

_________________________________________________________

Artikel ini adalah cetusan pendapat penulis sendiri dan tidak mencerminkan pendirian bebas Malaysiaktif

Tinggalkan komen anda