Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Baja Kompos Daripada Sisa Buahan dan Sayuran

By 2 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Pernahkah anda terfikir sisa buahan dan sayuran yang anda buang boleh dikitar semula untuk dijadikan baja organik?

Bayangkan berapa banyak kawasan tapak pelupusan sampah yang dapat dijimatkan dan memanjangkan lagi jangka hayat tapak pelupusan itu sendiri dengan mengitar semula sisa makanan untuk dijadikan baja kompos.

“Usaha inilah yang dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak 2010 apabila sisa makanan dan buah-buahan daripada Pasar Besar Melaka Sentral dihantar oleh kontraktor Jabatan Pengindahan Bandar ke tapak semaian untuk dicampurkan dengan sisa cantasan pokok yang telah dihancurkan untuk dijadikan kompos organik,” ujar Penolong Pengarah Pertanian, Jabatan Pengindahan Bandar, Ismail Che Din.

 

AtowPR3Vqb-4p17bImv5_w1x-7Vi1eOD9h55C30yOFVW

 

Tambah beliau, kompos ini telah digunakan untuk penyemaian tanaman semusim dan untuk pokok-pokok landskap yang dijaga oleh MBMB. Langkah ini telah menjimatkan kos sebanyak 50 peratus serta meningkatkan mutu persekitaran yang mesra alam dan kesihatan.

“Selepas proses menapis kompos, kompos yang halus dan kasar akan diasingkan di mana kompos halus digunakan untuk media campuran manakala kompos kasar digunakan sebagai bahan sungkupan,” jelas Ismail ketika ditemui di Program Pameran Hijau Negeri Melaka 2016 di Mahkota Parade, pagi tadi.

“Kita hanya perlu tabur kompos ini ke tanah dan gemburkannya. Kelebihan menggunakan kompos organik ini [adalah] daun tumbuhan akan lebih besar, warna hijaunya lebih pekat dan berkilat,” katanya.

Pada 2013, baja kompos sisa cantasan ini telah memenangi Hadiah Inovasi Peringkat Negeri Melaka anjuran kerajaan negeri dan menerima wang tunai sebanyak RM5,000.

 

Tinggalkan komen anda