
Oleh M. Shaharudin Suratman (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 11 Mac (Malaysiaaktif) — Walaupun dengan menggunakan peruntukan dan skala yang kecil, Program Sembang Warung yang diadakan di peringkat kampung adalah salah-satu kaedah komunikasi bersemuka yang berkesan dalam mendekati rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) Kg. Tanggai Rodzi Abd. Rahman berkata, program seumpama ini sewajarnya diadakan dengan lebih kerap merangkumi semua JKKK di daerah ini.
Menurut beliau, melalui kaedah ini pelbagai lapisan masyarakat dapat duduk bersama-sama berkongsi maklumat dan menyampaikan sebarang masalah di kawasan mereka serta mencari kaedah berkesan menangani isu-isu semasa negara.
Program Sembang Warung yang diadakan pada Rabu lepas di gerai Pekan Air Mawang ini anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Komuniti 1Malaysia Kg. Tanggai dan JKKK Kg. Tanggai.
Lebih 30 orang terdiri daripada anak muda dan anggota masyarakat lain hadir.