Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurEkonomiHomeKelantanViral

Tren Kuala Krai-Gua Musang Pemangkin Nadi Rakyat

By 1 Mac 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh NorFadzlina Ahmad Fadzli, Mohd Idris Deraman (Gua Musang)

GUA MUSANG, 1 Mac (Malaysiaaktif)– Sebelum tahun-tahun 80an Daerah Gua Musang hanya boleh dihubungi melalui perkhidmatan keretapi. Daerah selatan Kelantan yang dahulunya dikenali sebagai Hulu Kelantan mula membangun setelah terbina jalan raya berikutan pembukaan tanah rancangan KESEDAR (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) oleh Kerajaan Persekutuan.

Walaupun kini jalan Kuala Krai – Gua Musang menjadi laluan utama, namun perkhidmatan keretapi antara stesen dari Merapoh, Pahang ke Kuala Krai melalui Gua Musang masih menjadi penghubung penting kepada masyarakat setempat, khususnya penduduk Gua Musang, Bukit Abu, Limau Kasturi, Dabong dan Manek Urai.

Tragedi Bah Kuning yang melanda Kelantan pada Disember 2014 telah memusnahkan Jambatan Kemubu yang menjadi laluan utama keretapi menghubungkan Gua Musang dengan Kuala Krai. Ia menyebabkan laluan tersebut ditutup sehingga kini. Kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula sedang dijalankan bagi memulihkan laluan ini demi kepentingan pengguna dan masyarakat setempat.

 

20160229232413

Tragedi Bah Kuning pada Disember 2014 telah memusnahkan Jambatan Kemubu.

 

Memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan keretapi amat tinggi, khususnya bagi pengguna laluan Gua Musang – Johor Bahru, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan bas dari Tumpat ke Gua Musang dengan kos tambang yang sama dengan perkhidmatan keretapi Tumpat-Gua Musang.

Ini bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pengguna yang ingin menggunakan khidmat keretapi dari Gua Musang ke Johor Bahru.

Perkhidmatan tren Gua Musang – Johor Bahru akan melalui beberapa bandar dan stesen kecil yang membolehkan penumpang turun dan naik di sepanjang laluan, seperti  Lipis, Mentakab,Triang, Segamat, Bahau, Gemas hingga Johor Bahru.

 

20160229232328

Stesen Keretapi Gua Musang.

 

Oleh kerana laluan antara bandar dan stesen ini melibatkan perkhidmatan keretapi berhenti-henti, harga tiket yang ditawarkan juga bergantung kepada destinasi dan amat berpatutan kepada pengguna.

Dua kelas tiket yang ditawarkan, iaitu Kelas 2 dan Kelas Ekonomi. Bagi perjalanan Gua Musang – Johor Bahru harga tiket bagi Kelas 2 tempat tidur RM51, Kelas 2 tempat duduk RM39 dan Kelas Ekonomi RM24 sahaja. Harganya yang lebih murah bagi destinasi lebih dekat. KTMB juga memberikan potongan 50% harga tiket kepada warga emas dan kanak-kanak.

Perjalanan Gua Musang – Johor Bahru mengambil masa yang panjang kerana tren berhenti di setiap stesen serta kapasiti kelajuan yang rendah di laluan sempit. Ini berbeza berbanding menaiki bas hanya 10 jam perjalanan ke Johor Bharu.

Seorang kerani di kaunter di stesyen Gua Musang, Adli, menjelaskan bagi perkhidmatan laluan Gua Musang – Johor Bahru, KTMB menyediakan sebanyak enam koc untuk setiap perjalanan bagi memenuhi permintaan pengguna. Enam koc ini boleh memuatkan seramai lebih kurang 174 penumpang pelbagai kelas tiket. Menurut beliau juga, perkhidmatan keretapi antara daerah banyak mendapat sambutan dan pertanyaan daripada pengguna.

Sebahagian besar penduduk Daerah Gua Musang adalah dari kawasan pedalaman yang terletak berhampiran laluan keretapi. Oleh itu, perkhidmatan tersebut masih terus menjadi keperluan penting bagi mereka.

Perkhidmatan keretapi bagi laluan Gua Musang – Kuala Krai dijangka pulih dan beroperasi semula pada April 2016.  Pemeriksaan akhir tahap keselamatan dan spesifikasi laluan akan dilakukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

 

Tinggalkan komen anda