
Oleh: Zuraidah Ahmad & Azman Jumat (Sabah)
SEMPORNA, 23 Apr (Malaysiaktif) –? Lebih 50 ribu pengunjung memeriahkan Regatta Lepa kali ke-23 yang berlangsung di sini semalam.
Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman, perayaan itu bukan sahaja diraikan masyarakat Bajau di daerah ini, bahkan seluruh negara turut berkongsi kemeriahannya.
“Perayaan Lepa merupakan kesinambungan budaya tradisi masyarakat Bajau daerah Semporna yang mempunyai keunikan dan signifikan tersendiri.
“Malah, perayaan ini juga berjaya menarik kunjungan ramai pelancong dari dalam dan luar untuk datang ke Sabah khususnya Semporna,” ujarnya.
Dalam konteks ini, katanya, kerajaan negeri sentiasa komited dan menyokong inisiatif setiap daerah mengetengahkan keistimewaan masing-masing, termasuklah dalam konteks budaya dan tradisi masyarakat setempat.
“Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan menerusi agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar iaitu Sri Pelancongan Sabah yang bertanggungjawab memainkan peranan aktif dari segi penyaluran peruntukan kepada Jawatankuasa Induk Regatta Lepa.
“Perayaan ini mengetengahkan unsur budaya dan tradisi yang memberi impak positif kepada sektor ekonomi dan sosial masyarakat khasnya dalam industri pelancongan,” ujarnya.
Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ramlee Marahaban dalam Majlis Pelancaran serta Acara Akhir Sukan Laut dan Perarakan Lepa Ke-23.
Majlis tersebut disempurnakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin di Dataran Regatta Lepa.
Terdahulu, Ahli Parlimen, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam ucapan alu-aluannya berkata bertemakan ‘Budaya Memperkasa Semangat Perpaduan’, pesta berkenaan ialah wadah menyerlahkan fungsi, keunikan dan kreativiti suku kaum Bajau Semporna serta lepa sebagai warisan tradisi yang menarik perhatian pelancong.
“Walaupun sering dikaitkan dengan kes-kes penculikan, namun warga daerah ini tetap mahu membuktikan bahawa tahap keselamatan di sini adalah terjamin melalui kejayaan penganjuran Regatta Lepa, setiap tahun.
“Pada tahun ini, kita menerima penyertaan terbanyak iaitu 497 buah lepa berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sebilangan pengunjung merupakan warga Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan sebagainya.
“Kerajaan membelanjakan RM3 juta setiap tahun khusus untuk kejayaan pesta ini dan menjana pulangan yang besar dalam industri pelancongan negara,” kata Shafie.
Dalam pada itu, Semporna dilihat bukan sahaja unik dari segi budaya dan tradisi, bahkan keindahan pulau-pulaunya amat memukau.
Pada Februari 2016, Semporna mencatatkan jumlah pelancong paling ramai iaitu 19,000 dengan kebanyakannya ialah warga China berbanding 13,000 pada Januari dan 17,000 pada Mac.
Antara sukan laut yang dipertandingkan ialah tarik tali lepa/kumpit, dayung lepa/kumpit, kelle-kelle, panjat tiang licin dan lumba renang terbuka.
SF