Oleh Muhammad Rizal Redzuan
KUCHING, 24 Apr (Malaysiaaktif) – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah hari ini mengadakan lawatan Pusat Media Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRNS) di sini. Semasa lawatannya, Hashim memaklumkan agar tiada pihak sengaja membuat isu berkaitan celup jari dengan dakwat untuk mengundi. Isu ini timbul apabila ada pihak yang mendakwa, dakwat mudah tanggal jika hanya dicalit, maka ia perlu dicelup.
Menurut beliau, ini bergantung kepada niat pihak-pihak tertentu berkaitan isu tersebut. Jika mereka sengaja ingin memburukkan SPR apa juga proses pengundian boleh dipertikaikan. Sekuat mana pun dakwat yang diguna, pasti ada pencuci yang boleh menanggalkannya. Isu ini sengaja dilakukan untuk menunjukkan seolah-olah ada orang boleh mengundi dua kali.
Beliau berkata mereka sengaja mencabar untuk menunjukkan kelemahan SPR. Isu ini tidak timbul di negara-negara lain. Dulunya tidak ada proses mencalit dakwat, tetapi ada pihak yang minta proses ini dibuat. Kini mereka minta celup pula dan SPR melakukannya. Selepas itu, dengan mencelup juga mereka tidak berpuashati, jadi apalagi mereka nak SPR buat?
Beliau mempersoalkan mengapa perlu berusaha untuk melawan sistem, apa yang diminta telah pun dibuat, tetapi kalau sengaja untuk mencabar SPR, tak bolehlah.
Mohd Hashim juga berkata kalau SPR yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong tidak boleh melaksanakan pilihan raya, organisasi mana lagi yang akan melaksanakannya? Jika organisasi bahru diwujudkan sekalipun, mereka tetap mempertikaikannya.
Turut hadir Pengarah SPR Sarawak, Datuk Takun Sunggah.