
Oleh: Norhayani Hashim & Muhamad Zaini Dollah (Kepala Batas)
KEPALA BATAS, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Penetapan lokasi permainan Roller Blade yang kian menjadi trend riadah golongan muda-mudi di Kepala Batas, sentiasa berubah dari masa ke masa.
Menurut Pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas, Mohd Najib Zain, usahawan-usahawan Roller Blade ini pada mulanya menjalankan perniagaan di Bertam Kiosk, sebelum diarahkan mencari tapak baharu atas sebab-sebab keselamatan.
Berpindah ke tapak baru di Tesco Bertam, permainan Roller Blade yang diusahakan oleh golongan belia berumur 25 tahun ke bawah ini, masih mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Selepas beberapa hari, para pengusaha Roller Blade sekali lagi dihalang daripada beroperasi oleh pihak berkuasa tempatan atas dakwaan menghalang lalu lintas.
Bagi tidak melunturkan semangat usahawan muda ini, Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas, Nordin Wahab, telah mengambil inisiatif untuk menyediakan tempat baharu di Perkarangan Wisma UMNO Kepala Batas, tanpa dikenakan sebarang pembayaran sewa tapak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menunjukkan keperihatinannya terhadap aktiviti sihat ini dengan menyumbangkan tar baharu untuk aktiviti riadah Roller Blade di pekarangan Wisma UMNO Kepala Batas.
Kini orang ramai boleh bermain Roller Blade di sini, bermula dari 8 malam hingga 12 tengah malam setiap hari.
-AH