Oleh Mohd Muhaimin Amran
JASIN, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Dalam usaha menyebarkan maklumat kepada golongan muda di sini, Pejabat Penerangan Daerah Jasin telah menganjurkan program Treasure Hunt Kenegaraan bertempat di ruang legar pejabatnya, Sabtu lalu.
Menggabungkan konsep hiburan dan riadah, program yang memasuki tahun kedua penganjurannya ini disertai kira-kira tujuh buah Kelab 1Malaysia (K1M) di Daerah Jasin.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Lim Ann Teck, program berkonsepkan hiburan dan santai tetapi sarat dengan maklumat ini lebih mudah diterima oleh golongan anak muda.
Sementara itu, seorang peserta dari SMK Sungai Rambai, Azzawiyah Indra Ceaser berkata program ini dapat merapatkan hubungan antara sekolah serta dapat menambahkan pengetahuan tentang fungsi PMR di Daerah Jasin.
Seorang peserta dari SMK Iskandar Shah, Hartina Hamzah pula mengatakan program ini turut mengasah minda peserta.
“Aktiviti ini juga dapat mencerna minda peserta-peserta kerana mereka perlu menyelesaikan soalan-soalan yang disediakan oleh pihak urus setia,” ujar Hartina.
Pencarian “harta karun” ini dimenangi oleh pelajar daripada SMK Seri Mahkota di tempat pertama diikuti SMK Sultan Iskandar Shah di tempat koedua dan SMK Dang Anum di tempat ketiga.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Jasin, Abdul Malek Kasim.
“Program seumpama ini perlu diteruskan kerana memberi impak yang positif kepada pelajar-pelajar K1M,” kata Abdul Malek.
Program ini turut mengetengahkan fungsi Pusat Maklumat Rakyat (PMR) yang sememangnya sinonim sebagai pusat sumber dan penyebaran maklumat kepada rakyat di samping menyediakan kemudahan internet kepada penggunanya.
-DZ/SF