Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

100 Tahun Pandu Puteri Malaysia Fokus Kepada Bakau

By 18 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Suriani Ghazali (Ipoh)

KUALA SEPETANG, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Perak meraikan Sambutan 100 Tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia pada Sabtu dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menyempurnakan majlis pelancaran program Grooving the Mangroves ini di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang di sini.

AqjYtIy0-V0HPMsFYGs5dSmevDV7qoPJXMsu4b6xuHlN

 

Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah selaku Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia turut menekankan betapa pentingnya melindungi dan menjaga alam sekitar bagi memastikan ekosistem hutan paya bakau agar terus terpelihara.

“Hutan simpan paya bakau ini dipilih kerana merupakan hutan simpan tertua di Malaysia dan turut diakui antara hutan bakau terbaik di dunia dari segi pengurusan dan penjagaannya,” titah Raja Nor Mahani.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Dr. Hizambri Yasin pula berkata hutan yang paling awal diwartakan sebagai hutan paya bakau di Malaysia ini mendapat pengiktirafan oleh saintis dunia dalam jurnal yang telah disiarkan di Wetland Ecological and Management, Chemosphere dan Aquatic Botany.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan oleh Pandu Puteri dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran ahli dalam pelbagai program kemampanan alam sekitar. Ini bertepatan dengan alam semula jadi yang sentiasa menjadi tema Pandu Puteri sejak penubuhannya pada 1910 di England.

AtICa7gXwe5GUMSDXrfBaXoGnGxx-RnegjbxTE8VYLx2 (1)

 

Menurut Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Datuk Haji Roslan Ariffin, kerjasama dengan Persatuan Pandu Puteri ini disambut baik kerana keahlian Pandu Puteri terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Tambahnya, sikap mencintai alam sekitar ini amat penting untuk dipupuk sejak kecil.

Majlis ini merupakan salah satu program yang telah disusun sepanjang 2016 sempena Perayaan 100 Tahun Pandu Puteri Malaysia.

Sehingga kini, jumlah ahli Pandu Puteri di Perak mencecah 10,000 orang.

 

-DZ/SF/AAS

Tinggalkan komen anda