Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Kerajaan Melaka Tidak Menidakkan Forum Zakir Naik

By 12 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri (Putrajaya)

MELAKA, 12 Apr (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka tidak pernah menghalang penganjuran forum ‘Persamaan Di antara Agama Hindu dan Islam’ (Similarities between Hinduism and Islam) yang sepatutnya diadakan di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) di sini pada 17 April.

Ini dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pagi tadi.

Forum yang bakal disampaikan oleh pendakwah terkenal dari India, Dr. Zakir Naik, 50, dibatalkan penganjurannya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui akaun Twitter Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar, semalam.

Walau bagaimanapun, Idris berkata, pihak kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklumat berhubung penganjuran program tersebut.

 

1_31463

 

“Saya sebenarnya tidak pernah dimaklumkan tentang kehadiran Dr Zakir Naik ke UTEM secara rasmi oleh pihak penganjur. Saya mendapat tahu dari beberapa sumber yang beliau akan ke Melaka.

“Jadi, pada saya apabila penganjur tidak memaklumkan pada saya secara rasmi tentang kehadiran Dr Zakir Naik ini, saya menganggap ia sebagai sesuatu yang telah diambilkira dalam segenap aspek oleh pihak penganjur dan saya memang bersetuju dengan penganjuran itu sehinggalah arahan daripada KPN yang mengatakan Dr Zakir Naik tidak boleh berceramah di Melaka,” kata Idris dalam kenyataan itu lagi.

Tambahnya, beberapa kumpulan penganut agama Hindu di Melaka telah datang berjumpa dan meminta beliau supaya menyekat kehadiran Dr Zakir Naik ke UTEM. Namun, perkara ini selesai apabila kumpulan tersebut menerima jawapan yang diberi ketika perbincangan dan akhirnya bersetuju dengan forum ini.

Arahan pembatalan forum itu menyebabkan ramai pihak menuding jari kepada Kerajaan Negeri Melaka.

“Jadi, sekali lagi saya menyatakan pendirian bahawa kerajaan negeri tidak pernah menidakkan program ini, bahkan memberikan  lampu hijau. Tetapi, mungkin penganjur terlepas pandang untuk berhubung dengan kerajaan negeri di peringkat awal. Hari ini saya memberikan kenyataan bahawa sesuatu yang baik itu adalah untuk kita bersama,” kata Idris lagi.

Sementara itu, Idris turut menasihati sesetengah pihak bertindak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan, termasuk mencemarkan nama baik Dr Zakir Naik supaya memohon maaf secara terbuka.

“Saya memang mengenali Dr Zakir Naik sebagai seorang penceramah yang cukup pengetahuan dan kepakarannya bukan sahaja dalam agama Islam, tetapi juga pengetahuan mendalam berkaitan agama-agama lain, termasuk Kristian, Judaisme, Buddha, Hindu dan lain-lain.

“Dan saya memang mengenali beliau bukan sahaja sebagai seorang yang gigih berceramah memberikan pengetahuan kepada seluruh umat manusia, tetapi juga sebagai seorang penggiat kebajikan yang cukup dikenali di seluruh dunia hingga mempunyai siaran TV yang dikenali sebagai Peace TV.

“Justeru, tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan Dr Zakir Naik seorang pendakwah sesat adalah tidak benar. Dr Zakir Naik adalah seorang pendakwah bebas yang mempunyai niat untuk membaiki dunia, bukannya untuk memporak-perandakannya,” tambah Idris.

 

–DZ/AAS

Tinggalkan komen anda