Oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 12 Apr (Malaysiaaktif) – Belia merupakan pemangkin masa hadapan negara. Dalam usaha meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran golongan belia mengenai hal ehwal ASEAN, Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2016 telah diadakan secara dalam talian, selama sebulan, bermula 1 April lepas.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (Penerangan Strategik), Datuk Mohd Sukari Ab Hamid, objektif kuiz ini adalah untuk mendedahkan golongan belia kepada aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial negara-negara ASEAN.
“Program ini dijangka mampu menyemai semangat kesefahaman dan setia kawan dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi pemimpin dan peneraju ASEAN, seterusnya meningkatkan minat membaca dan kaedah pencarian maklumat dalam kalangan peserta,” ujar Sukari.
Kuiz ASEAN 2016 dibuka kepada semua pelajar warganegara Malaysia berumur 15 hingga 17 tahun yang menuntut di Sekolah Menengah Kerajaan atau Swasta, tanpa had maksimum penyertaan bagi setiap sekolah.
Terbahagi kepada tiga tahap, peserta akan diuji dalam tempoh 30 minit bagi setiap sesi. Tahap ketiga kuiz ini akan mengukur tempoh kecekapan, ketepatan dan kepantasan pelajar menjawab soalan.
“20 peserta terbaik akan dipilih dan akan dipanggil ke Putrajaya dalam Program Training of Trainers untuk kami beri pendedahan kepada pelajar-pelajar peringkat Kebangsaan ini untuk kita latih bagi persediaan ke Peringkat Rantau,” ujar Sukari lagi.
Kuiz ASEAN Peringkat Serantau anjuran Lao PDR, selaku tuan rumah pada tahun ini, dijangka akan diadakan pada September. Tiga peserta terbaik akan dipilih ke pertandingan ini.
Sijil Penghargaan boleh dicetak terus secara dalam talian apabila pelajar melepasi setiap tahap.
Pemenang tempat pertama berpeluang memenangi wang tunai RM2,500 berserta trofi dan sijil, pemenang tempat kedua wang tunai RM1,500 berserta trofi dan sijil, tempat ketiga wang tunai RM1,000 beserta trofi dan sijil, tempat keempat dan kelima wang tunai RM750 seorang beserta sijil, manakala sagu hati wang tunai RM300 seorang berserta sijil.
Sukari berkata, pihaknya menjangkakan lebih 50,000 penyertaan untuk Kuiz ASEAN pada kali ini.
“Diharap ramai tenaga pengajar serta ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak masuk pertandingan ini agar mereka boleh terlibat secara langsung dalam aktiviti peringkat kebangsaan,” ujar Sukari.
Setakat pukul 4 petang tadi, jumlah peserta Kuiz Asean 2016 telah mencecah 4,382, dengan penyertaan tertinggi daripada Melaka dan Perak, masing-masing 650 dan 576 penyertaan.
Kuiz yang telah memasuki edisi ketujuh ini merupakan program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (MCMC).
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.penerangan.gov.my atau laman facebook ASEAN QUIZ Malaysia. Kuiz asean ini boleh dilayari di laman kuizasean.penerangan.gov.my.