Oleh: Norhayani Hashim (Kepala Batas)
KEPALA BATAS, 20 April (Malaysiaaktif) – Selepas dilanda kemarau baru-baru ini, bunga-bunga Tekoma kini kembali mekar di Kepala Batas, Pulau Pinang. Turut dikenali sebagai Tabebuia, pokok ini ditanam di kebanyakan tempat sekitar Kepala Batas.
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia menerusi laman webnya menyatakan bahawa Tabebuia yang berasal dari Amerika Tengah dan Benua Amerika Selatan ini memerlukan musim kering yang ketara sebelum mengeluarkan bunganya.
Bunga-bunga Tabebuia yang lebat ini mencantikkan pemandangan di Kepala Batas dengan warna merah jambu dan putih.
Menurut seorang penduduk tempatan, Siti Safirah Hasyim, 26, keindahan bunga-bunga Tabebuia yang merimbun memukau pandangannya, selain mengindahkan lagi kawasan sekitar.
Safirah turut berharap agar pihak-pihak berwajib menanam lebih banyak pokok-pokok Tabebuia ini di Malaysia kerana boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong seperti pohon Sakura di Jepun.
Tinjauan Malayasiaaktif mendapati orang ramai yang melalui kawasan Kepala Batas tertarik dengan keindahan tumbuhan ini.
– AH