Skip to main content
HomePutrajayaViral

KPT Umum Syarat Baharu Biasiswa MyBrain15

By 20 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
 
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 20 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan syarat baharu had umur  bagi permohonan Biasiswa MyBrain15.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan semalam, KPT berkata had umur baharu bagi Program MyMaster adalah tidak melebihi 35 tahun sementara bagi Program MyPhD adalah tidak melebihi 45 tahun pada 1 Januari 2016.

MyMaster merupakan pembiayaan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana manakala MyPHD pula ialah pembiayaan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran untuk mencapai sasaran 60 000 pemegang PhD dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang 2023.

KPT cuba memberi peluang kepada graduan yang tidak berjaya mendapat pekerjaan untuk terus menyambung pengajian mereka di peringkat Sarjana dan PhD selain menggalakkan graduan, meningkatkan pengetahuan mereka sebelum mula bekerja.

Program Biasiswa MyBrain15 memberi peluang kepada rakyat Malaysia menambah kemahiran dalam menghadapi cabaran ekonomi yang dinamik di samping memperkasakan pembangunan modal insan untuk menjadi negara maju.

Menerusi Pengubahsuaian Bajet 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi meneruskan pelaksanaan penajaan Program Biasiswa MyBrain15 kepada 20,000 rakyat Malaysia.

Selain Program MyBrain15, ada juga program penajaan biasiswa dan fellowship menerusi Geran Penyelidikan Fundamental (FRSG), Skim Pembiayaan Dalaman  Universiti Penyelidikan (RU), Skim Latihan Akademi Bumiputra (SLAB) dan Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI).

Pada masa yang sama kerajaan juga menawarkan pelbagai skim pinjaman boleh ubah yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Permohonan perlu dibuat secara dalam talian menerusi https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrain15

 

-AAS

Tinggalkan komen anda