Oleh Diyana Zamri / Foto: Hafiz Itam
KUCHING, 29 Apr (Malaysiaaktif) – “Saya tidak mahu memerintah sebuah kerajaan jika tidak ada orang Cina dalamnya.”
Demikian kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem ketika berucap di Program Bertemu Rakyat di City Mall, Batu Kawa tadi.
“Saya mahu orang Cina sama-sama memerintah. Saya tidak mahu bikin perintah jika orang Cina tidak ada. Mesti ada percampuran kaum,” ujar Adenan lagi.
Adenan menggesa rakyat Sarawak mengundi calon Cina seperti Dr. Sim Hui dan Milton Foo jika mereka inginkan perkara ini jadi kenyataan.
Kata-kata Adenan itu disambut dengan sorakan lebih 2,000 orang di majlis tersebut.
Tambahnya, rakyat Sarawak perlu dikenali dengan nama suku kaum sendiri, bukan hanya dikenali sebagai “lain-lain” di atas kertas.
“Mana boleh ‘lain-lain’. Kita manusia, kita ada adat, ada tradisi,” tegas Adenan.
Sementara itu, calon DUN N.14 Batu Kawa, Professor Senator Datuk Dr. Sim Kui Hian yang ditemui dalam majlis yang sama menegaskan tentang kebenaran yang diperlukan oleh rakyat.
“Ini adalah soal kebenaran yang diperlukan oleh rakyat dalam pilihan raya kali ini. Mereka mahukan kemudahan asas seperti lampu jalan, longkang dan jalan diperbaiki dan dinaiktaraf. Itu adalah apa yang dibimbangkan oleh penduduk setempat.
“Tapi, jika dilihat dari perspektif yang lebih luas, ini adalah sama ada orang Cina mahu diwakili, pilih untuk diwakili [oleh BN] atau tidak. Atau mereka memilih untuk berada di dalam parti pembangkang. Jika semua orang Cina berada dalam parti pembangkang, ini menunjukkan tanda-tanda yang tidak sihat dan ianya tidak boleh mewakili Sarawak dengan baik,” ujar Lim.
Turut hadir, calon DUN N.13 Batu Kitang, Lo Khere Chiang (BN), DUN N.10 Pending, Milton Foo (SUPP) dan calon DUN N.12 Kota Sentosa, Yap Yau Sin.