Skip to main content
Berita TempatanMelaka

37 Ribu Peluang Pengajian Ditawarkan Sepanjang 2016

By 30 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Sejumlah 37,000 tempat ditawarkan di Institut Pendidikan Tinggi Malaysia (IPTM) sepanjang 2016 oleh 10 institusi rakan strategik pendidikan.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau Dan Inovasi, Datuk Wira Haji Md Yunos Husin berkata kerajaan negeri percaya program jelajah pendidikan bumiputera 2016 ini adalah antara alternatif terbaik dalam membantu anak-anak miskin dan pelajar bumiputera yang tercicir untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Di samping memberi fokus kesedaran pendidikan kepada kumpulan sasar, mereka juga diberi penerangan akan pentingnya kelangsungan pendidikan dalam kehidupan,” jelas Md. Yunos ketika berucap di Program Jelajah Pendidikan Bumiputera di Pasar Raya Mydin MITC, Ayer Keroh semalam.

Tambahnya, secara tidak langsung program ini dapat membantu mengenal pasti individu yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai kelayakan untuk meneruskan pembelajaran.

10 rakan strategik IPTM yang terbabit dalam program ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM), UNIKL, Kolej Polytech Mara (KPTM), Institut Kemahiran Malaysia (IKM), Politeknik, GIATMARA, Kolej Komuniti, Kolej Kemahiran Tinggi Malaysia, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan.

Md. Yunos turut mengucapkan syabas kepada Pengerusi Jawatankuasa induk program, Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar yang turut hadir dalam majlis tersebut.

“Sesungguhnya roh kesungguhan Melayu berjaya diterap dalam jati diri lebih 35,000 anak muda bumiputera termasuk orang asli melalui program ini yang telah bermula dari UiTM sewaktu beliau memegang jawatan Naib Canselor UiTM sebelum ini,” ujar Md. Yunos.

Tambahnya, 87 peratus telah berjaya menempah kejayaan dalam bidang diploma dan ijazah di UiTM dan sembilan peratus telah diserapkan ke program-program kemahiran serta vokasional di institusi pendidikan terpilih.

“Inilah yang saya mahukan untuk kita terus menjuarai pendidikan rakyat sehingga ke akar umbi supaya semua kelompok masyarakat dapat turut merasai arus pembangunan pendidikan negara,” jelasnya.

Md. Yunos turut mendoakan kejayaan 500 orang anak muda yang menjadi sukarelawan dan ikon muda jelajah pendidikan ke-64 parlimen sekali gus mengangkat taraf pendidikan anak bangsa khususnya bumiputera ke satu tahap yang lebih tinggi.

-DZ

Tinggalkan komen anda