Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Paras Air Rumah Pam Pinang Tunggal Meningkat

By 4 April 2016Tiada komen2 minit bacaan


Oleh: Mohd Zanizal Zamani & Ariza Mohamed Zaki (Kepala Batas)

KEPALA BATAS, 4 April (Malaysiaaktif) – Bacaan paras air di Rumah Pam Pinang Tunggal, Kepala Batas mencatatkan peningkatan pagi ini dengan 1.90 meter, meningkat sebanyak 0.3 meter berbanding minggu lalu.

Menurut Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang, Hamid Omar, paras yang diperlukan adalah sebanyak 2.10 meter bagi membolehkan rumah pam tersebut beroperasi.

Tambahnya, air dari Empangan Muda dan Beris turut dilepaskan bagi meningkatkan paras air di Sungai Muda ke paras yang lebih stabil.

“Sebanyak sembilan rumah pam berada di sepanjang Sungai Muda sebelum sampai ke Rumah Pam Pinang Tunggal,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin, bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pinang Tunggal.

Hujan lebat di kawasan sekitar pada petang semalam menyumbang kepada peningkatan tersebut, namun belum cukup untuk disalurkan ke sawah-sawah di sekitarnya bagi tujuan penanaman padi.

Hamid berkata, dianggarkan sebanyak RM42 juta kerugian bakal ditanggung pesawah sekiranya sawah mereka tidak dapat diusahakan pada musim ini.

Menurut seorang pesawah, Mohamad Koldaie Abd Hamid, 63, keadaan ini adalah yang terburuk sejak beliau mengusahakan sawah semenjak 15 tahun lalu.

978440aa-a674-41df-a442-771e951ca48e

Mohamad Koldaie, 63, ketika ditemubual wartawan Malaysiaaktif

 

Katanya, hal ini menjejaskan pendapatannya yang bergantung sepenuhnya kepada hasil penanaman padi.

Koldaie turut mencadangkan agar agensi yang terbabit membina empangan dan pam-pam kecil di sekitar Sungai Muda bagi menampung keperluan air sekiranya masalah ini berulang.

Sebelum ini, bacaan paras air di Rumah Pam Pinang Tunggal dilaporkan menurun berikutan fenomena El-Nino yang melanda negara.

 

-AH

Tinggalkan komen anda