Oleh: Azimee Abdullah & Sherul Nizam Zakaria (Balik Pulau)
BALIK PULAU, 20 April (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Farid Saad semalam menyatakan bantahannya terhadap cadangan pembinaan pangsapuri setinggi 23 dan 27 tingkat oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Sungai Pinang, Balik Pulau.
“Menyediakan rumah untuk rakyat adalah satu niat yang baik. Tetapi tindakan melulu dengan mencadangkan pembinaan perumahan berketumpatan tinggi dan berharga tinggi adalah sesuatu yang sukar saya terima,” ujar Faris dalam satu sidang media di pejabat ADUN Pulau Betong semalam.
Terdahulu, PR1MA telah membuat permohanan kepada Exco perumahaan kerajaan negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, untuk membina 29 blok pangsapuri dengan harga sehingga RM510 ribu seunit. 29 blok ini terdiri daripada 25 blok pangsapuri 27 tingkat dan empat blok pangsapuri 23 tingkat.
Menurut Farid, rumah yang akan dibina tidak mampu dimiliki oleh penduduk tempatan yang rata-rata hanya bekerja sebagai nelayan, operator kilang, petani, pesawah dan selebihnya bergaji sederhana.
Tambahnya, cadangan PR1MA untuk membina bangunan pangsapuri setinggi 27 tingkat tidak dapat diterima oleh penduduk Balik Pulau kerana sebelum ini kawasan Balik Pulau hanya dibenarkan membina bangunan dengan ketinggian maksimum lima atau enam tingkat sahaja.
“Jika perumahan baharu ini disiapkan dalam masa lima atau 10 tahun, penduduk Balik Pulau akan bertambah sekali ganda. Tambahan yang banyak ini hanya di satu kawasan yang kecil sahaja. Sudahkah mereka (PR1MA) mengambil kira kesan sosial, ekonomi, alam sekitar dan geopolitik di kawasan ini?” ujar Farid lagi.
Sementara itu, Farid turut mencadangkan agar PR1MA membina rumah yang mampu dimiliki penduduk tempatan dengan kadar RM200 ribu ke bawah.
“Berilah peluang kepada anak-anak jati Balik Pulau untuk membelinya. Mereka tidak mahu rumah-rumah yang dibina di Balik Pulau yang hanya mampu dilihat tetapi tidak mampu dibeli.”
– AH/SF