Oleh: Asmidar Zainol, Vicky Sylvester Matanjang dan Jeffren Malaning (Sabah)
KOTA KINABALU, 20 Apr (Malaysiaktif) –? SMK Usukan yang mempertaruhkan sketsa ‘Di Tanah Ini Ku Berpijak’ dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia Peringkat Sabah.
Menurut Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Datuk Borhan Dola, pertandingan ini bukan sahaja dapat membantu negara memperkasakan semangat patriotisme dalam kalangan remaja, tetapi juga meningkatkan integrasi nasional dan membina perwatakan positif serta menyemarakkan lagi semangat setiakawan.
“Masyarakat Malaysia kini kurang menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara. Senario ini amat menyedihkan kerana remaja merupakan pelapis kepada kepimpinan negara pada masa hadapan,” tambahnya semasa merasmikan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia di Dewan Semarak, Wisma Dang Bandang pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Datuk Almain Ajirul berharap pertandingan tersebut mampu merealisasikan Gagasan 1Malaysia sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 melalui prinsip Rukun Negara.
SMK Usukan yang mewakili Bahagian Pantai Barat Utara berjaya membawa pulang wang tunai RM 1500, piala dan sijil.
Naib johan pula dimenangi SMK Beaufort yang mewakili Bahagian Pendalaman Bawah dengan hadiah RM 1000, piala dan sijil, sementara tempat ketiga diraih SMK Agaseh yang mewakili Tawau menerima RM700, piala dan sijil.
Peserta SMK Usukan, Aidil Putra Sairin dan peserta SMK Beaufort, Nur Nilam Sari Ridwan masing-masing diumumkan sebagai Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik.
Pasukan-pasukan lain yang turut berentap ialah wakil Pantai Barat Utara, SMK Tun Fuad Stephens, wakil Pedalaman Atas Keningau, SMK Sook dan SMK Beluran mewakili Sandakan.
SF