
Oleh Warman Wagiman / Foto: Abdul Hafiz Itam
KUCHING, 1 Mei (Malaysiaaktif) – 13 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk menaik taraf Medan Niaga Satok termasuk gerai makan Tembok bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengguna.
Pembangunan projek yang telah berkembang 70% akan siap sepenuhnya dan boleh digunakan pada 22 Julai ini sebagai hadiah kepada rakyat Sarawak.
Kontraktor berkaitan juga telah diarahkan agar memastikan semua kerja naik taraf dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Haji Openg menyatakan demikian kepada media selepas meninjau pembangunan projek berkenaan pagi tadi.
Setelah kerja-kerja naik taraf siap, peniaga gerai makanan ‘Tembok’ akan mempunyai ruang yang lebih selesa dan pengunjung akan menikmati suasana baharu iaitu dengan pemandangan Sungai Sarawak.
Tambahnya, apabila medan niaga ini berwajah baharu, pastinya akan menjadi daya tarikan baharu kepada industri pelancongan di negeri ini.
“Kerajaan sedang merancang untuk mencari pendekatan terbaik bagi menaik taraf bukan hanya ekonomi negeri malah pendapatan rakyat.
“Apabila semua perancangan berjaya dilaksanakan, dengan infrastuktur yang baik dan selesa akan menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.
“Kita akan menghubungkan medan niaga ini dengan menaik taraf pengangkutan air sebagai salah satu tarikan baharu, kerana selain Boyan Gersik dan Waterfront, Benteng ini juga bakal berkembang pesat,” ujar beliau.
Terdahulu, Abang Johari merasmikan gotong-royong perdana KRT Datuk Paduka Sitom bersama Surau Darul Uyuun dan JKKK Kampung No 3, Satok.