Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Jangan Harap Undi Cina – Profesor Madya Jeniri Amir

By 1 Mei 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan

KUCHING 1 Mei (Malaysiaaktif) – Jangan terlalu mengharapkan sebarang keajaiban atau peralihan besar sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN).

Menurut penganalisis politik, Profesor Madya Jeniri Amir, ini kerana mereka mempunyai strategi tersendiri. Walaupun mereka menyukai cara Tan Sri Adenan Satem dalam membawa perubahan kepada corak pemerintahan di Sarawak, namun mereka mempunyai matlamat yang lain.

Beliau memberitahu Malaysiaaktif dalam temu bual eksklusif baru-baru ini bahawa dengan segala pengiktirafan dan bantuan Kerajaan Sarawak kepada masyarakat Cina, pengundi Cina masih tidak menunjukkan perubahan besar terhadap sokongan kepada BN kerana proses check and balance sangat penting bagi mereka.

 

99d8b9f6-510b-4134-a658-9cdaf4bf5fd8

 

Tindakan prihatin Adenan menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga bekas Presiden Parti Tindakan Rakyat (DAP) Wong Ho Leng yang meninggal dunia pada 21 Jun 2014 bagi membayar kos perubatannya antara faktor utama yang menjadi titik tolak kepada pandangan masyarakat Cina terhadap Ketua Menteri itu.

Walaubagaimana pun, Jeniri masih berpegang kepada unjuran bahawa tidak akan ada perubahan ketara sokongan Cina kepada BN.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRNS) ke-10 yang lalu, Sarawak United Peoples’ Party (SUPP), iaitu parti terbesar kaum Cina pada ketika itu mengalami kekalahan teruk. Parti tersebut hanya memenangi empat daripada 11 kerusi yang dipertandingkan, iaitu di N.27 Simanggang, N.28 Engkalili, N.47 Bawang Ansan dan N.65 Senadin.

 

b30230bf-2713-4e83-b90d-2b022cba2769

 

Menurut Jeniri, kini sokongan Cina kepada parti pembangkang, saperti DAP juga sudah tidak sekuat 2011. Pada PRNS yang lalu, sentimen anti-BN dalam kalangan kaum Cina sangat menebal. Dengan terjahan kuat ‘Adenan Fever’ kali ini, terdapat sedikit anjakan serta perubahan daripada mereka.

Kajian Penarafan Populariti Majlis Profesor Negara (MPN) mendapati Adenan mencecah 85 peratus, manakala kajian Merdeka Centre pula mendapati popularitinya berada pada 82 peratus.

Jeniri berkata jika dilihat trend kempen, majlis-majlis yang dianjurkan parti pembangkang sudah kurang mendapat sambutan daripada kaum Cina. Dengan 53 prinsip yang dikenali sebagai Adenan Way itu, ia sedikit sebanyak membantu meredakan sokongan mereka terhadap pembangkang. Selain itu, usaha bersungguh Adenan memerangi rasuah, terutama dalam isu pembalakan haram, sehingga 36 kilang balak haram seluruh Sarawak mengalami kerugian dan ditutup terus juga menarik kepercayaan masyarakat itu dan menebalkan persepsi berhubung ketelusan pemerintahan Adenan.

 

628f21ae-1352-4c1c-829e-75431298d16b

Profesor Madya Jeniri Amir.

 

Menurut ramalan Jeniri, paling tinggi BN mungkin boleh menang 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Ini kerana beliau mendakwa sebahagian pemilih telah membuat keputusan parti mana yang akan diundi sebelum penamaan calon.

Sebahagian daripada mereka berbuat demikian selepas penamaan calon, sebahagian berdasarkan kempen dan selebihnya, sementara sebahagian kecil semasa hari mengundi. Trend pemilih di luar bandar tidak menunjukkan perubahan yang ketara.

Melihat trend kempen pula, pembangkang, terutama DAP dilihat sangat kreatif dan agresif dalam media siber berbanding BN. Bagaimana pun, BN telah belajar daripada PRNS ke 10, dalam mana calon BN yang juga Presiden SUPP, Dr. Sim Kui Hian dilihat sangat kreatif menggunakan media siber, walaupun peluangnya untuk menang sangat sukar.

Sehubungan itu, Jeniri berkata corak pengundian Cina kali ini, terutama sokongan kepada SUPP, akan sedikit sebanyak menentukan perhatian kerajaan kepada mereka. Justeru, kemenangan Dr. Sim dianggap sangat penting dalam mencorak hala tuju politik masyarakat Cina di Sarawak.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda