Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Dr. Sim Doktor Pakar yang Teliti- Jamilah

By 1 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Mohd Borhan Ahmad Ulis / Foto: Khirul Nizam Zanil

KUCHING, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Keperibadian Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri N.14 Batu Kawah, Datuk Dr. Sim Kui Hian yang teliti dan ingat kepada janji menjadikannya seorang yang amat sesuai mewakili penduduk di kawasan tersebut.

Isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Dato Hajah Jamilah Haji Anu berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran bersama Wanita PBB N.14 di Surau Darurrahman, RPR Batu Kawah Fasa 2, dekat sini, pagi tadi.

“Kita sedia maklum dengan latar belakang Dr. Sim yang merupakan seorang doktor pakar bedah yang terkemuka. Sudah tentu sebagai seorang doktor pakar tahap kerjanya adalah teliti dan teratur,” kata Jamilah.

Jamilah menambah kekurangan infrastruktur di kawasan Batu Kawah sepatutnya telah diatasi sejak lima tahun lalu.

Masalah peparitan yang mengundang kepada kejadian banjir menghantui penduduk di kawasan tersebut tanpa apa-apa tindakan daripada penyandang kerusi berkenaan.

Oleh itu , beliau menyeru para pengundi Batu Kawah supaya membuat perubahan demi masa depan kawasan tersebut.

“Banyak perubahan boleh dirancang di kawasan Batu Kawah asalkan para pengundi memberi kepercayaan kepada calon BN yang ternyata serius dalam menghulurkan bantuan demi kebaikan masyarakat di sini,” ujar Jamilah.

Jamilah merujuk kepada kesungguhan Dr. Sim dalam merealisasikan Institut Jantung Kota Samarahan yang berjaya dibina di negeri ini.

Menurutnya, dengan terbinanya institut jantung tersebut, rakyat di negeri ini tidak perlu lagi berbelanja besar ke luar negara mahupun di Semenanjung Malaysia bagi mendapatkan rawatan jantung.

“Jelas sekali usahanya adalah untuk membantu rakyat sehingga sanggup kembali menabur bakti di negeri sendiri,” tambah Jamilah.

Jamilah sekali lagi mengingatkan  para pengundi untuk membawa kad pengenalan diri semasa hari pengundian dan berhati-hati dengan taktik kotor sesetengah pihak dalam memanipulasi pengundi warga emas di pusat-pusat mengundi.

“Pihak tersebut melakukan pelbagai cara untuk mengelirukan pengundi terutamanya warga emas yang kadangkala lupa cara-cara hendak mengundi,” jelas Jamilah.

Pada majlis tersebut Jamilah dan Dr. Sim turut menyampaikan sumbangan kepada enam orang kelainan upaya.

 

– SF

Tinggalkan komen anda