Skip to main content
EkonomiHomeRencana & Pendapat

Ambil pengajaran dari kegagalan pengurusan hutang Greece

By 17 Mei 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid/ Foto: CBC

Sejak tahun 2010, Zon Ekonomi Eropah telah merasai bahang krisis ekonomi kesan daripada lonjakan hutang kebanyakan negara yang berada dalam zon Kesatuan Eropah (EU). Tiga negara EU mencatatkan hutang yang terlalu tinggi ialah Greece, Portugal dan Ireland. Greece paling parah dan merupakan satu-satunya negara yang terus dihantui dengan “debt default” atau kegagalan membayar hutang.

Ketika krisis memuncak (2014), hutang dalamannya berjumlah RM1.3 trilion (€317 bilion), manakala hutang luarannya berjumlah  RM1.7trilion (€412bilion). Hutang luar Greece kebanyakannya dipinjam daripada bank-bank asing seperti Perancis dan Jerman.

Isu hutang Greece adalah disebabkan Greece berbelanja melebihi perolehan yang dikutip oleh negara itu. Ini menyebabkan negara itu mencatatkan defisit yang meningkat dari tahun ke tahun.

Untuk menampung defisit yang besar, Greece meminjam dari luar negara. Pada tahun 2006/07 defisitnya menjadi lebih besar dan pada Oktober 2009 defisit negara itu melebihi 13 peratus daripada perolehan negara.

 

“Krisis kemanusian”

Pada tahun 2014, krisis kewangannya memuncak disebabkan beban hutangnya yang terus membengkak. Kesan daripada krisis yang teruk itu menyebabkan bank-bank di Greece terpaksa menutup operasinya selama seminggu untuk membendung pengeluaran wang.

Bank-bank menetapkan pendeposit tidak dibenarkan mengeluarkan lebih daripada RM250 (€60) daripada mesin pengeluaran wang (ATM), manakala pemindahan wang antarabangsa mestilah dengan kelulusan terlebih dahulu .

Krisis yang dihadapi Greece itu dilihat oleh para penganalisis sebagai “krisis kemanusiaan” kerana Greece kehabisan wang dan berhadapan dengan bekalan makanan serta bekalan ubat-ubatan yang semakin tenat.

Greece membelanjakan sekurang-kurangnya RM5 bilion (€1.2 bilion) untuk mengimport bekalan makanan dari luar.

Hakikatnya, Greece masuk ke lembah muflis menyebabkan rakyatnya menderita dan negara itu terpaksa menyembah kepada badan-badan kewangan dunia.

 

Penguasaan ‘Troika’

Langkah mengatasi dibuat dengan menyuntik bantuan daripada badan kewangan dunia yang  dikenali sebagai ‘Troika’, iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Pusat Eropah (ECB) dan Suruhanjaya Eropah (EC).

Pihak ‘Troika’ meluluskan pinjaman RM1 trilion (€240bilion)  untuk Greece dengan syarat dikenakan kawalan perbelanjaan, menaikkan cukai negara, melaksana langkah-langkah penjimatan yang ketat dan beberapa syarat lain.

Greece seolah-olah hilang kedaulatan di tangan ‘Troika’ dan negara itu tiada pilihan selain menyetujui syarat-syarat yang dikenakan itu.

Keadaan yang dihadapi Greece itu menyebabkan timbul isu mengenai sama ada negara itu perlu keluar atau disingkirkan dari EU. Isu ini membuatkan negara itu menjalankan referendum untuk menentukan nasibnya pada 5 Julai 2014. Soalan yang diajukan berkisar kepada rancangan yang dikemukakan ‘Troika’.

Hasil referendum itu menunjukkan 61.5 peratus daripada hampir lima juta rakyat  mengundi memilih tidak setuju. Ia sekali gus memberikan kemenangan kepada Perdana Menteri Alexis Tsipras ketika itu.

Ketua Pembangkang Antonis Samaras yang mengharapkan majoriti rakyat bersetuju mengambil keputusan meletakkan jawatannya.

Satu lagi alternatif yang pernah disebut ialah menggunakan kewangan alternatif, iaitu matawang ‘drachma’, iaitu mata wang lama Greece. Pengunaan matawang lama itu dikatakan boleh menyegerakan ‘Grexit’, iaitu keluarnya Greece daripada kesatuan kewangan Eropah.

‘Grexit’ adalah satu taruhan yang besar bagi Greece. Bagaimana pun, pilihan itu mungkin membawa kejayaan seperti yang pernah dilalui Argentina yang berhadapan ‘default’ sebanyak RM501.6 bilion (AS$132bilion) pada 2002.

Apa pun, Greece telah terperangkap dalam penguasaan ‘Troika’. Pada penghujung 2014, Greece sudah mula mengawal perbelanjaan di bawah zon perolehan ekonomi yang ditetpkan ‘Troika’.

Bagaimanpun pemulihannya dijangka mengambuil masa sekitar 20 tahun, namun ia banyak bergantung kepada perkembangan ekonomi Greece.

 

Ambil pengajaran

Kita wajar mengambil ibrah atau pengajaran daripada apa yang berlaku di Greece. Perbelanjaan berhemat, amalan berjimat cermat dan kawalan terhadap ketirisan hendaklah sentiasa diamalkan secara konsisten.

Dua langkah yang dilaksanakan kerajaan, iaitu pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi berjaya menyelamatkan ekonomi negara dari kesan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu. Sekiranya dua langkah itu tidak diperkenalkan, kemungkinan kita akan berdepan dengan nasib yang sama seperti Greece.

Langkah kerajaan itu diakui Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim. Malah sebelum ini, Bank Dunia dan IMF turut mengakui bahawa pembaharuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan itu berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan dan ekonomi negara.

 

Tinggalkan komen anda