Oleh Suria Karim dan Edawati Sulaiman @ Hod
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) kini dilihat mampu keluar dari kepompong kehidupan harian mereka dan bergaul dengan masyarakat, termasuk menyertai aktiviti sukan.
Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menganjurkan Kejohanan Sukan Khas OKU Peringkat Kebangsaan 2016 di Kompleks Sukan Setiawangsa bermula dari 16 hingga 20 Mei.
Menurut Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Azizah Mohd Dun, melalui kegiatan sukan golongan OKU dapat menyerlahkan kemampuan seperti mana anggota masyarakat lain.
Tambah beliau lagi, ‘Kejohanan kali ini adalah juga sebagai medan persiapan para atlet OKU untuk menyertai Kejohanan Special Olympics Peringkat Dunia yang dijadualkan pada 2019.
Seramai 1,100 orang atlit dan pegawai kontinjen dari seluruh Malaysia mengambil bahagian dalam temasya sukan ini. Kebanyakan peserta terdiri daripada pelatih kurang upaya intelek yang menerima pembelajaran di Taman Sinar Harapan (TSH) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK.
Antara acara yang dipertandingkan, termasuk olahraga, balapan, bocce, renang, boling, bola sepak, badminton dan futsal.
Turut hadir hari ini, Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Zulkiply Ramli dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat WPKL, Wan Noraidah Wan Mohd Noor.