Skip to main content
EkonomiHomeRencana & Pendapat

Cabaran Semasa dan Pengurusan Ekonomi Negara

By 11 Mei 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

oleh Mohd Ayop Abd Razid / Foto: Aziz AS

Tahun lepas Malaysia masih mengekalkan kedudukannya dalam kalangan 15 negara paling kompetitif di dunia. Pencapaian ini terkadung dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2015 (WCY) yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD) berpangkalan di Switzerland. Malaysia berada di kedudukan ke-14, iaitu lebih tinggi daripada Belanda (ke-15), Ireland (ke-16), New Zealand (ke-17), Australia (ke-18), United Kingdom (ke-19), Finland (ke-20), Korea (ke-25) dan Jepun (ke-27). Walaupun kedudukan Malaysia menurun berbanding tahun 2014, namun negara menambah baik skornya kepada 84.11 daripada 82.09 (2014).

WCY turut menyenaraikan Malaysia berada di kedudukan kelima paling kompetitif dalam kalangan 28 negara dengan penduduk melebihi 20 juta. Manakala dalam kalangan anggota ASEAN, negara kekal di kedudukan kedua dan di kedudukan keempat dalam kalangan 14 negara di rantau Asia Pasifik. WCY turut menyenaraikan Malaysia di tangga pertama dalam kalangan 30 ekonomi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kurang daripada US$20,000.

Penilaian berasaskan empat faktor

Laporan IMD itu jelas menunjukkan bahawa pengurusan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang betul. Badan antarabangsa itu menyediakan penilaian paling objektif bagi daya saing negara-negara dalam dunia global. Penilaiannya berdasarkan kepada empat faktor, iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan prasarana.  Ini bermakna badan dunia itu mengakui bahawa Malaysia mempunyai kesemua faktor penting itu untuk menjadikan kita lebih kompetatif.

Hakikatnya, disebalik ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia tetap menunjukkan keupayaan dan prestasi  ekonomi yang stabil dan menyakinkan. Pengurusan ekonomi negara adalah bersifat dinamik dan fleksibel. Kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif  bagi menyesuaikan faktor ekonomi luaran yang di luar jangkaan dan kawalan. Kerajaan akan mengambil langkah yang perlu dan praktikal berdasarkan keadaan semasa.

Untuk berhadapan dengan situasi semasa, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang bertindak menimbang segala perancangan bersifat  segera dan sederhana bagi menangani isu ekonomi seperti nilai ringgit, mengekal kestabilan pasaran kewangan serta mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal.

 

Pelbagai langkah atasi cabaran ekonomi

Antara langkah yang dilaksanakan kerajaan ialah membuat semakan dan pengubahsuaian spesifik serta membuat unjuran ke atas perkara asas bagi merancang ekonomi dan kewangan negara. Contohnya,  dalam semakan   semula Bajet 2015 dan 2016 kerajaan mengkaji semula kadar defisit negara dengan mengunjurkan kepada satu unjuran yang munasabah.

Langkah praktikal lain ialah mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja dengan tumpuan kepada melaksana projek-projek yang dapat meningkatkan kapasiti produktif kepada ekonomi negara. Namun, komitmen kerajaan berkaitan pembangunan dan kebajikan sosioekonomi rakyat tetap menjadi keutamaan. Semua projek pembangunan, khususnya yang bersifat ‘ekonomi rakyat’ dan beberapa projek mega berimpak tinggi tetap dilaksanakan.

Melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan telah memperkukuh asas ekonomi  negara melalui pertumbuhan bidang-bidang baharu seperti pendidikan dan perkhidmatan latihan, ekopelancongan, kesihatan, teknologi hijau dan pelbagai bidang lain. Usaha mempelbagaikan aktiviti ekonomi dilaksanakan supaya negara mampu hadapi kejatuhan harga minyak dan komoditi.

Langkah kerajaan melaksana pelan rasionalisasi subsidi (SRP) dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjaya memperkukuh kedudukan kewangan negara, sekali gus dapat mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan.

Realitimya, kita mempunyai kerajaan yang bekerja keras bagi memastikan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara terus berada di landasan yang betul. Komitmen kerajaan ialah memastikan negara mampu mencapai KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini.

 

 

Tinggalkan komen anda